SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Friday, October 1, 2010

Peperiksaan SPM 2010 bermula 23 November

KUALA LUMPUR: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan diadakan mulai 23 November ini dan bukannya 22 November sebagaimana yang diumum sebelum ini, berikutan cuti umum di Johor.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sudah memaklumkan mengenai tarikh baru peperiksaan SPM itu kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri melalui surat siaran bertarikh 7 Mei lalu.

Pindaan tarikh itu juga dimuat turun di laman sesawang LPM pada minggu pertama Jun lalu, sementara jadual waktu peperiksaan SPM yang baru sudah pun dicetak dan dihantar ke semua Jabatan Pelajaran negeri untuk diedarkan ke semua sekolah menengah pada 23 Julai lalu, katanya.

Kementerian itu berkata, pemindaan tarikh peperiksaan dibuat berikutan langkah kerajaan Johor mewartakan 22 November sebagai cuti umum negeri itu sempena Hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Dengan itu peperiksaan SPM tahun ini akan bermula dari 23 November dan berakhir pada 20 Disember 2010, katanya. BERNAMA

Saturday, September 4, 2010

Majlis Penyampaian Sumbangan Misi Satu Keluarga Satu Graduan Yayasan UNITI

Port Dickson: Seramai 15 pelajar Tingkatan Lima SMK Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan telah menerima sumbangan dalam bentuk wang saku, pakaian seragam sekolah, buku ulangkaji, pembiayaan kos tuisyen, yuran sekolah dan sebagainya daripada Yayasan UNITI . Para pelajar berkenaan adalah peserta  yang telah berjaya dipilih untuk menyertai Misi Satu Keluarga Satu Graduan yang dianjurkan oleh Yayasan UNITI.

Majlis berkenaan diadakan di Dewan SMK Pasir Panjang semasa Hari Perhimpunan Sekolah yang disaksikan oleh seramai 700 pelajar dan para guru. 

Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Eksekutif Yayasan UNITI, En Saiful Nizam Bin A.b Shokor dan diiringi Puan Pengetua dan Guru Penolong Kanan 1 SMK Panjang Panjang.

En Saiful Nizam Ab Shokor semasa ucapannya telah merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada 15 peserta berkenaan kerana telah berjaya terpilih sebagai peserta Misi Satu Keluarga Satu Graduan bagi tahun 2010. Beliau mengharapkan para peserta dapat mencipta kejayaan didalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. 

“15 pelajar berkenaan amat bertuah dipilih sebagai peserta Misi Satu Keluarga Satu Graduan kerana pelajar seluruh Malaysia yang memohon adalah ramai dan Yayasan UNITI hanya memilih mereka sahaja” katanya.

Beliau juga sempat memberikan kata-kata semangat kepada 700 pelajar yang lain untuk berjaya pada masa hadapan.

Di akhir ucapan, beliau telah merakamkan ucapan infiniti terima kasih kepada pihak pengurusan dan warga SMK Pasir Panjang terutamanya Puan Pengetua, Guru Penolong Kanan 1 dan Guru Kaunselor di atas kebenaran dan kerjasama yang telah diberikan bagi menjayakan Misi Satu Keluarga Satu Graduan ini.

Tuesday, August 10, 2010

Graduan cemerlang terima ijazah di KLIA

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
2010/08/10
TUANKU Syed Faizuddin Putra menyampaikan ijazah dan Anugerah Emas Diraja kepada Mohd Abd Hafiz sambil diperhatikan Raja Puan Muda, Lailatul Shahreen Akashah dan Kamarudin pada majlis ringkas di VIP Lounge, KLIA, semalam.


Jurutera dapat anugerah diraja daripada Raja Muda Perlis

SEPANG: Pemenang Anugerah Emas Diraja Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohd Abd Hafiz Zakaria, 25, yang terlepas menghadiri konvokesyen Sabtu lalu kerana kematian ibunya, menerima ijazah dan anugerahnya daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail pada satu majlis ringkas, semalam.

Majlis berkenaan diadakan di VIP Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus sebelum Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, menaiki pesawat ke Pulau Pinang untuk pulang ke Perlis. Tuanku Syed Faizuddin adalah Canselor UniMAP.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Mohd Abd Hafiz ketika ditemui berkata, kesudian Tuanku Syed Faizuddin menyampaikan ijazah yang sepatutnya diterima pada Sabtu lalu mengubat kesedihannya yang kematian ibunya pada malam Jumaat lalu.

"Saya terharu dan gembira atas kesudian Raja Muda Perlis menyampaikan ijazah kepada saya walaupun konvokesyen sudah berakhir, namun saya sedih kerana ibu tiada bersama untuk melihat hari istimewa ini.

"Mungkin tiada rezeki untuk saya ambil ijazah di atas pentas dan berucap di hadapan rakan-rakan, tetapi majlis ini sedikit sebanyak mengubat rasa sedih itu," katanya.
Pada majlis itu juga, Tuanku Syed Faizuddin bagi pihak UniMAP menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Mohd Abd Hafiz.

Mohd Abd Hafiz yang menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar, terpaksa bergegas pulang selepas ibunya, Jaonah Bahari, 61, yang menghidap ketumbuhan dalam otak, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 10.20 malam, Jumaat lalu, beberapa jam sebelum majlis konvokesyen universiti itu.

Beliau menerima panggilan telefon mengenai berita buruk itu ketika beratur untuk menerima pingat pada satu majlis makan malam anjuran universiti bagi meraikan pelajar berjaya.

Mohd Abd Hafiz yang kini bekerja sebagai jurutera di Melaka reda dengan segala yang berlaku dan menyifatkannya sebagai satu dugaan yang terpaksa dilaluinya.

"Saya sempat memberitahu ibu sebelum beliau sakit tenat mengenai kejayaan mendapat Anugerah Emas Diraja dan ibu sangat teruja untuk menghadiri konvokesyen saya, tetapi takdir Tuhan mengatasi segala-galanya,” katanya.

"Saya juga terkilan kerana tidak dapat membalas jasa ibu saya yang bersusah payah membesarkan kami sekeluarga selepas kematian ayah," katanya.

Monday, August 9, 2010

RM500j pinjaman PTPTN digantung: 112,132 pelajar IPT tidak penuhi syarat perjanjian mencapai GPA 2.0

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
2010/08/09

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggantung hampir RM500 juta pengeluaran pinjaman kepada 112,132 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang gagal mendapat nilai purata gred kumulatif (GPA) 2.0 dalam tempoh sembilan tahun bermula 2002 hingga kini.

Daripada jumlah itu, sebahagian besarnya membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman, berkata tahun ini, seramai 4,383 pelajar gagal mendapat GPA 2.0 membabitkan RM31.36 juta pinjaman disekat.

“Kebanyakan pelajar yang disekat pinjaman adalah penuntut IPTS. Jika gagal mencapai GPA 2.0 pada semester satu, mereka perlu buat persediaan serta perlu mendapat GPA melebihi 2.0 pada semester kedua. Jika tidak, masuk semester ketiga PTPTN akan menahan pinjaman mereka.

“Oleh itu kita berharap IPTS memberi perhatian pengambilan pelajar yang benar-benar berkualiti ke pusat pengajian mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Tahun 2007, 2008 dan 2009 mencatat jumlah paling tinggi penggantungan membabitkan 61,485 pelajar dengan jumlah pinjaman mencecah RM300 juta. Pada 2002 pula, membabitkan 23 pelajar dengan jumlah pinjaman RM107,685, diikuti 2003 membabitkan 97 pelajar (RM394,848), 2004 membabitkan 1,475 pelajar (RM4.9 juta) 2005 membabitkan 21,994 pelajar (RM79.4 juta) dan 2006 membabitkan 22,675 pelajar (RM86.4 juta|).

“PTPTN mengambil tindakan itu berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pelajar ketika membuat permohonan. PTPTN juga mahu memastikan pelajar memberi perhatian serius terhadap pengajian mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pelajar yang pendapatan isi keluarga RM4,000 ke bawah layak mendapat pinjaman penuh PTPTN meliputi yuran dan sara hidup, beliau berkata pada asasnya semua rakyat Malaysia layak mendapat pinjaman pengajian daripada PTPTN, tetapi pelajar pendapatan isi keluarga melebihi RM4,000 mendapat sebahagian pinjaman saja.

“Kita mempunyai dana mencukupi untuk menampung keperluan pelajar bagi melanjutkan pengajian ke IPT. Malah, bayaran balik pinjaman buat masa ini agak baik, walaupun ada yang tidak mahu membayarnya,” katanya.

Wednesday, July 21, 2010

Perbincangan Meja Bulat cenderung mansuh UPSR, PMR

GENTING HIGHLANDS 20 Julai - Perbincangan Meja Bulat pertama berkaitan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilihat cenderung kepada langkah pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kerajaan akan meneliti hasil perbincangan itu dengan lebih mendalam sebelum keputusan akhir diumumkan nanti.

Menurut beliau, perbincangan Meja Bulat kedua akan diadakan minggu depan dan kedua-dua input daripada perbincangan itu bakal dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ogos ini.
 
"Penetapan kepada isu ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana ia melibatkan keputusan utama terhadap pendidikan negara. Justeru, kita akan teliti pandangan semua pihak.

"Jika dimansuhkan, ia akan membabitkan kepada alternatif bagi menggantikan peperiksaan sedia ada.
"Hasil daripada keputusan Meja Bulat itu akan dibentangkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Ogos nanti,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-17 2010, di Institut Aminuddin Baki (IAB), dekat sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan keputusan kesatuan-kesatuan guru yang bersetuju dengan cadangan memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR pada perbincangan Meja Bulat pertama yang berlangsung di Putrajaya.-Dipetik dari Utusan Malaysia

Semak status rayuan ke IPTA

KUALA LUMPUR 20 Julai - Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan status rayuan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia/Setaraf dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia/Setaraf sesi Akademik 2010/2011 boleh disemak mulai hari ini.

Menurut Unit Komunikasi Korporatnya, pemohon boleh menyemak secara online mulai pukul 12 tengah hari melalui laman web http://upu.mohe.gov.my, http:// jpt.uum.edu.my atau http://www.jpt.utm.my.

"Semakan menerusi talian hotline juga disediakan di talian 03-88835858 atau pemohon boleh menghubungi talian helpline di 03-8835848.

"Keputusan semakan juga dapat diketahui melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan cara menaip UPU RESULT, masukkan nombor Mykad dan hantar ke 15888 serta terbuka kepada semua talian telefon bimbit," kata kenyataan itu di sini hari ini

Selain itu, calon juga dinasihatkan mencetak surat tawaran melalui laman web IPTA yang berjaya diduduki yang bertujuan sebagai dokumen pendaftaran di universiti berkaitan.

Menurut kenyataan itu, kementerian tidak pernah melantik sesiapa sebagai agen atau wakil dalam pengurusan pemilihan kes rayuan calon yang gagal mendapat tempat di IPTA. 

''Semua pengurusan pengambilan diselaraskan melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi dengan mengguna pakai dasar, prosedur serta kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh kementerian.

"Keputusan rayuan adalah muktamad. Jika tiada sebarang tawaran rasmi sehingga 31 Julai, maka rayuan dianggap gagal," jelas kenyataan itu.- Dipetik dari Utusan Malaysia

4 universiti kekal status

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 20 Julai - Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) boleh mengekalkan status sebagai universiti penyelidikan negara untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, keputusan pengekalan status itu berdasarkan hasil audit ke atas keempat-empat universiti itu terhadap pencapaian dalam tempoh tiga tahun lalu dari tahun 2007 hingga 2009.

"Secara keseluruhannya keempat-empat universiti penyelidikan itu menunjukkan impak besar ke atas pencapaian bidang penyelidikan negara dan penghasilan modal insan.

"Pencapaian mereka turut merentasi empat aspek yang diukur iaitu modal insan, penerbitan, paten serta hak harta intelek (IPR) dan penjanaan pendapatan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis perhimpunan bulanan kementerian sekali gus melancarkan Buku Kajian Kes Bersepadu Program Perakaunan dan Kajian Hala Tuju Bidang Pengajian di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, bilangan pelajar pasca siswazah di keempat-empat universiti penyelidikan terbabit meningkat 34 peratus iaitu daripada 29,794 orang pada 2007 kepada 39,819 orang tahun lalu.

"Dalam aspek penerbitan, bilangan penerbitan dalam jurnal indeks situasi meningkat daripada 2,303 pada 2007 kepada 4,346 pada 2009 iaitu peningkatan 2,043 atau 89 peratus.

"Peningkatan sembilan peratus dalam aspek IPR turut berlaku iaitu 217 pada 2007 kepada 237 pada tahun lalu selain penjanaan pendapatan meningkat dari RM436 juta kepada RM746.7 juta bagi tempoh sama," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, gaji 1,894 pensyarah perubatan di 11 fakulti perubatan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini telah diselaraskan pada 1 Julai lalu.

Katanya, mereka turut diberi insentif bermula 1 Jun lalu mengikut gred masing-masing dan berdasarkan kelulusan atau tanpa kelulusan kepakaran klinikal.

"Berbeza dengan doktor di hospital, pensyarah perubatan terpaksa juga melakukan kajian dan aktiviti pengajaran, jadi bebanan mereka tinggi.

"Kita khuatir tidak ramai tertarik untuk berkhidmat sebagai pensyarah perubatan sekiranya kita tidak lihat (buat penyelarasan) pada skim perkhidmatan mereka," katanya.

Kurikulum sesuai: Dua kementerian perlu serius tentukan sistem pendidikan


Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@nstp.com.my
2010/07/21

KEMENTERIAN Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengadakan perbincangan bersama mengenai kurikulum sesuai bagi semua peringkat pendidikan dengan mengambil kira proses pembangunan insan secara holistik. 

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Zakaria Kasa, berkata proses penggubalan kurikulum mengikut tahap pendidikan tertentu menyukarkan pelajar menjalani pembelajaran lebih tinggi. 

Beliau berkata, perbincangan itu mewujudkan kesinambungan antara kurikulum sekolah hingga universiti yang perlu diberi perhatian serius dalam transformasi sistem pendidikan negara.

"Sebagai contoh, pendidikan dasar Tahun 1 hingga Tahun 6 sepatutnya memberi fokus kepada penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira serta penghayatan nilai murni.

"Sementara kemahiran sosial dan insaniah ditekankan di sekolah menengah supaya pelajar menumpukan proses mendalami ilmu peringkat pengajian tinggi," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kurikulum sekolah dan universiti kata Zakaria, perlu ada kesinambungan supaya tiada insiden menuding jari sesetengah pihak yang mempersoal keupayaan dasar pembelajaran.

Sekolah katanya, perlu faham pelajar bagaimana diperlukan universiti. Bagi memenuhi keperluan itu, penggubal kurikulum daripada kedua-dua agensi terbabait perlu membincangkan modul sesuai di setiap peringkat.

"Pendidikan dasar harus diberi perhatian utama untuk membentuk generasi berpengetahuan dan memiliki sahsiah mulia. Apabila proses pembelajaran asas kukuh, pelajar lebih mudah menyesuaikan diri dengan proses pembelajaran universiti yang menuntut mereka berdikari," katanya.

Zakaria berkata, isu kesinambungan antara kurikulum sekolah hingga universiti itu antara resolusi utama kluster menerusi Mesyuarat Perancangan Strategik MPN, baru-baru ini.

Resolusi lain, katanya, termasuk usaha mewujudkan sekolah satu sesi dengan tumpuan kepada pembentukan murid yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan hidup masyarakat dan kekayaan negara.

"Turut dibincangkan, pelantikan guru berkelayakan tinggi dan pakar terutama di sekolah rendah. Ini untuk membolehkan tumpuan pendidikan bukan kepada pencapaian akademik semata-mata.

"Pembelajaran menyeluruh membentuk insan seimbang yang akan menjadi tunjang kepada pembangunan berterusan," katanya.

Tuesday, July 13, 2010

18 universiti terima penarafan cemerlang: Tiada IPT capai Tier Enam kerana tak tepati kriteria MQA ditetapkan MQA.

Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my
13 Julai 2010

PUTRAJAYA: Tujuh lagi institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan 11 IPT swasta di negara ini menerima pengiktirafan cemerlang atau Tier Lima menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) yang dikendalikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Bagaimanapun, masih tiada IPT mencapai Tahap Terbilang atau Tier Enam, iaitu peringkat paling baik, kerana tidak menepati kriteria ditetapkan MQA.

Penarafan itu dilakukan setiap dua tahun bermula 2007, bagi mengukur kedudukan IPT awam dan swasta dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf institusi pendidikan tinggi negara ke peringkat antarabangsa.

Mengumumkan keputusan SETARA 2009 di sini, semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tahun lalu penarafan itu diperluaskan ke semua 58 universiti dan kolej universiti di seluruh negara, berbanding 20 IPT pada 2007.

Pada 2007, hanya Universiti Malaya (UM) menerima Tahap Cemerlang dan UM mengekalkan kedudukan itu pada SETARA 2009.

Pada 2009 juga 11 IPT awam dan 14 IPT swasta menduduki Tier Keempat, iaitu Tahap Sangat Baik, manakala empat IPT menduduki Tier Tiga atau Tahap Baik. Tiada IPT disenaraikan pada kedudukan Tier Dua (Memuaskan) dan Tier Satu (Lemah). 

Mohamed Khaled berkata, 11 IPT pula tidak dapat diberi penarafan kerana pelbagai faktor termasuk baru ditubuhkan, tidak menawarkan program ijazah pertama, tiada pelajar tahun akhir atau belum menghasilkan graduan dan universiti bukan konvensional seperti universiti terbuka yang mungkin memerlukan instrumen tersendiri.

Beliau berharap lebih banyak IPT menyertai penarafan itu dan memecahkan tradisi untuk mencapai Tahap Terbilang pada SETARA 2011.

Mohamed Khaled berkata, penarafan SETARA 2009 memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran pada peringkat ijazah pertama yang dijalankan universiti dan kolej universiti terbabit.

"Pembangunan instrumen itu membabitkan pembandingan dengan amalan Higher Education Funding Council of England (HEFCE) dan kajian Teaching & Learning Quality Indicators in Australia Universities oleh Denise Chalmers (2008) serta rakan negara ASEAN lain, iaitu tiga universiti di Indonesia dan 31 universiti di Thailand," katanya.

Beliau berkata, program kali ini juga membabitkan proses pengesahan oleh Jawatankuasa Verifikasi dipengerusikan seorang bekas hakim Mahkamah Tinggi dan dianggotai dua tokoh akademik serta perundangan yang meneliti instrumen kajian dan proses penarafan yang digunakan serta kesahihan data dikemukakan IPT.

Katanya, IPT awam yang mencapai tahap cemerlang akan menikmati banyak manfaat termasuk tajaan kerajaan bagi pengambilan pelajar dalam dan luar negara, boleh memohon dan menerima geran penyelidikan dan layak mendapatkan status universiti penyelidikan serta menambah program pelajar pra dan pasca siswazah.

IPT swasta pula diberi kelonggaran dan pengecualian dalam beberapa perkara, termasuk permohonan permit mengajar, kelulusan menetapkan gaji pensyarah antarabangsa dan dibenarkan mengambil pelajar antarabangsa secara automatik, manakala IPT Terbilang mendapat tambahan keistimewaan autonomi untuk melaksanakan program pengajian tanpa perlu melalui MQA.

Thursday, July 8, 2010

Jangan ukur pencapaian pelajar berasaskan keputusan peperiksaan: Sultan Azlan


BAGAN DATOH: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, hari ini bertitah pencapaian pelajar tidak harus diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata sebaliknya harus dinilai secara komprehensif.

Titah baginda, penilaian harus meliputi pelbagai faktor termasuk aspek penghayatan nilai murni yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan.
"Dunia menjadi pincang dan manusia menderita hasil perbuatan bukan daripada kalangan manusia tidak terpelajar atau kurang pendidikan yang melakukan pecah amanah.
"Ketidakaturan urusan kewangan secara besar-besaran adalah daripada kalangan berkelulusan tinggi yang diberikan amanah menerajui organisasi yang besar," titah baginda pada majlis perasmian Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini.

Titah baginda, situasi itu menunjukkan wujud jurang dalam pendidikan yang mencerminkan kurangnya penghayatan nilai murni sehingga mereka sanggup menggunakan ilmu yang diperolehi untuk tujuan kerosakan.

Justeru, titah Sultan Azlan, aspek penyampaian ilmu harus disertakan dengan nilai yang betul dan pelajar dipastikan menghayatinya.

Bagaimanapun, titah baginda, usaha penyerapan nilai murni harus dipikul semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat demi melahirkan pelajar yang berdisiplin dan berdaya maju.

Baginda juga menyarankan supaya sekolah di negara ini menetapkan pelajarnya menguasai satu bidang sukan atau aktif dalam kegiatan bukan akademik seperti badan beruniform atau kesenian.

Titah baginda, bidang sukan dapat mengukuhkan disiplin, membina semangat juang serta membina sifat budiman seseorang semasa menerima kekalahan.

Pembabitan dalam badan beruniform pula dapat mendidik pelajar mengenai urusan berorganisasi dan kepimpinan, sementara kegiatan seni termasuk penulisan membantu mengembangkan bakat halus pelajar, titah Sultan Azlan.

Baginda turut menyarankan agar pembelajaran pendidikan agama Islam tidak berfokus kepada pencapaian gred ''A'' semata-mata, tetapi memastikan pelajar menghayatinya dan meneladani sifat yang dituntut agama.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. - Bernama

 

Wednesday, July 7, 2010

Rahsia SMK Pasir Panjang menjuarai pertandingan 3K


YEOW Bee Lin (tengah) pada Ekspo Pendidikan Hari Guru di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

SEREMBAN 27 Jun - Pelbagai teori pengurusan semasa yang diterapkan sebagai cara kerja seharian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Panjang, Negeri Sembilan, berjaya mengharumkan nama sekolah apabila muncul johan pertandingan kebersihan, kesihatan dan keselamatan (3K) peringkat kebangsaan kategori sekolah menengah bagi tahun 2009.

Antara teori pengurusan yang diamalkan di sekolah itu ialah Blue Ocean Strategy dan permuafakatan organisasi (CO), yang dipantau sendiri oleh pengetua sekolah.

Kata Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Yeow Bee Lin, pelbagai amalan dan pendekatan pengurusan berjaya menyatukan hati seluruh warga guru dan masyarakat setempat untuk bersama-sama memajukan sekolah berkenaan.

Dalam teori pengurusan Blue Ocean Strategy semua guru diberi kebebasan menyuarakan pendapat dan tiada budaya cantas mencantas dalam kalangan warganya, manakala di bawah CO, semua warga SMK Sekolah Pasir Panjang dan masyarakat setempat bekerjasama menjalankan aktiviti berkaitan program 3K.

SMK Pasir Panjang ialah sekolah berstatus luar bandar, dengan jumlah enrolmen pelajar 605 orang dan bilangan guru 50 orang.

Latar belakang ekonomi ibu bapa di situ adalah rendah dan sederhana, dengan 80 peratus bekerja di hotel dan pusat peranginan sebagai pembantu am atau sebagainya.

Yeow menambah, permuafakatan setempat dizahirkan dengan penubuhan jawatankuasa induk 3K, yang keahliannya meliputi warga guru, beberapa agensi luar dan tujuh jawatankuasa kerja kampung (JKK).

Konsep CO berlangsung dalam beberapa bentuk aktiviti seperti gotong royong, kayuhan merdeka (berbasikal), khatam al-quran, bergotong royong membuat kuih tradisional pelbagai kaum dan sebagainya. Konsep itu dizahirkan melalui ungkapan budaya disemai di sekolah, disuburkan di rumah, diperkukuhkan dalam masyarakat.

``Bila setiap kali bermesyuarat, kita sebarkan sebarang maklumat tentang aktiviti 3K,’’ kata Yeow.

Sekolah itu mula dilibatkan dengan aktiviti 3K peringkat daerah pada 2007 dan muncul juara, sebelum ke peringkat negeri, pada tahun berikutnya.

Yeow menambah kata, program 3K ternyata telah meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan di sekolah berkenaan, selain meningkatkan sahsiah pelajarnya.

Bukan setakat itu sahaja, sesuai dengan keperluan pertandingan 3K itu sendiri, pihak sekolah mengadakan program diet khas yang dipanggil fit and trim bagi mendapatkan berat badan unggul (BMI) dalam kalangan pelajarnya.-Portal Pendidikan Utusan

Tuesday, July 6, 2010

Strategi penampilan diri

SANTAPAN MINDA Oleh DR. ISMAIL ZAIN

Penampilan diri adalah salah satu aspek yang penting dalam penilaian peribadi seseorang murid. Ia bukan sahaja memberi satu gambaran yang positif terhadap nilai seseorang tetapi juga mampu mempengaruhi prestasi kecemerlangan murid itu sendiri.

Penampilan diri dapat dilakukan oleh murid melalui beberapa aspek berikut:

• Kekemasan diri

Anda harus kelihatan ”smart”, kacak, ”macho” segak dan lawa dari segi pakaian dan pengurusan diri. Ini bukan bermakna anda perlu membeli pakaian yang mahal dengan jenama yang terkenal atau menghias diri dengan solekan yang berlebihan tetapi sekadar memberi keselesaan pada diri sendiri dan kepada mereka yang melihat anda. 

Pakaian yang comot dengan keadaan diri yang tidak terurus menjadikan diri kita tidak bersemangat dan tidak dipedulikan orang. Lihatlah sahaja betapa segak dan mantapnya seorang murid yang berpakaian seragam sekolah yang lengkap atau berpakaian seragam bagi unit pakaian seragam. Mereka ini kelihatan ceria, berdisiplin, mudah mesra dan aktif dalam menjalankan tugas. Anda juga boleh kelihatan seperti mereka dengan mengenakan pakaian yang serba lengkap sebagai seorang murid sekolah.

• Budi pekerti dan akhlak mulia

Berbudi pekerti dan berakhlak mulia dapat dilihat melalui interaksi dengan guru, rakan-rakan dan ibu bapa. Percakapan yang bersopan adalah percakapan yang tidak menyakiti hari orang lain. Senda gurauan yang keterlaluan, ejekan dan sindiran kepada rakan boleh mengeruhkan suasana persahabatan dan akan menjadi bibit-bibit perselisihan dan pergaduhan. 

Jika anda mampu berinteraksi dengan lemah lembut, menggunakan bahasa yang sedap didengar seperti kata-kata pujian, penghargaan dan kata-kata semangat, anda mudah mendapat rakan dan anda akan sentiasa dihormati oleh mereka. Guru dan ibu bapa juga akan mudah didampingan jika anda dapat berinteraksi dengan mereka secara bersopan, berlemah-lembut dan sentiasa menghormati mereka.

• Perlakuan dan tabiat yang berkesan

Kedua-dua ciri ini berkehendakkan seseorang murid itu rajin berusaha, bersemangat dan bermotivasi tinggi tanpa berputus asa, proaktif, sentiasa patuh pada peraturan dan agama serta mempunyai keyakinan untuk berjaya. Murid seperti ini akan terus berusaha tanpa dipaksa, mengambil bahagian yang aktif dalam aktiviti akademik dan kokurikulum, rajin membuat ulang kaji, dan tidak merasa jemu bertanya kepada guru untuk menyelesaikan sebarang masalah pembelajaran. Mereka inilah yang akan mampu meraih kecemerlangan dalam kehidupan.

Pada hakikatnya, penampilan diri adalah amat diperlukan terutamanya pada kalangan murid di sekolah sebagai medan perjuangan ke arah mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.-Portal Pendidikan Utusan.

Belajar melalui kesilapan


SANTAPAN MINDA Oleh DR. ISMAIL ZAIN

KESILAPAN boleh menjadi pendorong untuk kita bangkit dan mencipta kejayaan. – Gambar hiasan


BELAJAR melalui kesilapan bukan bermakna anda perlu melakukan kesilapan ketika belajar. Ungkapan tersebut bermaksud setiap kesilapan yang dilakukan mampu memberi pengajaran, menginsafi ketelanjuran, menyedari kelemahan diri dan memberi ruang untuk membuat penambahbaikan.

• Memberi pengajaran

Seseorang itu boleh belajar bukan sahaja daripada guru atau sumber lain tetapi daripada setiap kesilapannya. Sebagai contoh jika seorang murid melakukan kesilapan dalam latihan matematik, kesilapan tersebut dengan secara tidak langsung memberi pengajaran atau maklumat tentang jawapan atau kaedah yang sebenarnya yang harus dilakukan. Dengan cara ini dia sudahpun memperolehi pengetahuan baru.

• Menginsafi ketelanjuran 

Setiap manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna ia boleh dijadikan alasan setiap kali kita melakukan kesilapan. 

Setiap hukuman yang diterima akibat ketelanjuran yang dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja, seperti melanggari peraturan atau garis panduan disiplin sekolah harus diinsafi, dijadikan iktibar serta bertekad untuk meninggalkannya. 

Dalam hal ini keinsafan yang kita alami ini merupakan proses belajar yang mampu memberi bimbinga ke arah jalan yang benar.

• Menyedari kelemahan 

Kekuatan dan kelemahan sentiasa berada di diri kita. Seseorang yang kuat dari segi fizikal mungkin lemah dari segi mental atau kerohaniannya. Begitulah juga sebaliknya.

Oleh itu kesilapan yang dilakukan itu memberi isyarat kepada kita bahawa di samping kekuatan yang kita peroleh terdapat lagi banyak kelemahan yang perlu diatasi. 

Dengan cara ini manusia belajar supaya dapat mengelakkan diri daripada sifat angkuh, riak atau sombong terhadap apa yang dimiliki. 

Hal ini bukan bermakna kita tidak boleh bangga dengan kekuatan yang ada pada diri kita. Kebanggaan mampu meningkatkan aras harga diri yang sekali gus menjadi faktor penggerak atau motivasi ke arah kejayaan. 

Walau bagaimanpun kebanggaan ini seharusnya digandingi dengan kesyukuran. Kesyukuran mampu mengelakkan diri kita menjadi riak atau sombong. Kesyukuran mendekati diri kita kepada Allah dan menghargai setiap pemberianNya kepada kita serta mampu memupuk rasa bertimbang rasa kepada yang tiada. Inilah satu pengajaran yang amat besar pada diri kita.

• Membuat penambahbaikan 

Hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Ungkapan ini menunjukkan setiap hari kita perlu melakukan perubahan diri untuk menjadi cemerlang. Setiap kelemahan bukan berakhir dengan kekecewaan tetapi perlu membuat penambahbaikan untuk mencapai kejayaan.

Justeru, murid-murid tidak seharunya takut atau malu jika berlaku kesilapan ketika belajar. Anda harus mengkaji setiap kesilapan yang dilakukan dan seterusnya mengambil tindakan yang bijak untuk mengatasinya. 

Ingat! setiap kesilapan memberi ruang dan peluang untuk anda membaikinya dan hasilnya kejayaan yang cemerlang menanti anda.-Portal Pendidikan Utusan

Monday, July 5, 2010

Pelajar cemerlang tak sertai kokurikulum sukar ke IPTA: Saifuddin

GEORGETOWN: Pelajar cemerlang mungkin berdepan masalah untuk diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini jika mereka tidak membabitkan diri dalam sebarang aktiviti kokurikulum di sekolah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin pelajar mendapat tempat di IPTA.
"Walaupun mendapat 90 peratus markah akademik tetapi aktiviti kokurikulum tidak ada langsung, pelajar mungkin menghadapi masalah untuk masuk ke universiti," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan pelajar baru di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Saifuddin berkata, langkah kementerian menekankan aspek kokurikulum kerana ingin melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik sebaliknya turut mempunyai nilai insaniah.

Katanya, langkah itu juga sebagai persediaan untuk graduan memasuki alam pekerjaan kelak.

"Kalau nak kerja pun, kecemerlangan akademik itu hanya laluan awal untuk dipanggil temuduga. Tetapi ketika temuduga, aspek insaniah yang akan diambil kira," katanya.

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mula melaksanakan dasar pengambilan dan pemilihan berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum bagi kemasukan ke IPTA untuk pengambilan pelajar sesi 2007/2008.

Empat aspek utama diberi penekanan dalam pengiraan markah 10 peratus pencapaian kokurikulum iaitu kehadiran (50 peratus), peringkat pembabitan (20 peratus), pencapaian (20 peratus) dan jawatan disandang (10 peratus). - BERNAMA

Thursday, July 1, 2010

Pelajar perempuan dominasi kemasukan ke universiti awam

Sumber Berita Harian Online: 01/07/2010
 
KUALA LUMPUR: Pelajar perempuan terus mendominasi kemasukan di universiti awam apabila menguasai 64.8 peratus atau 26,229 daripada 40,506 tempat yang ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011 yang akan mendaftar pada Sabtu dan Ahad ini.

Jumlah mereka juga melebihi lelaki bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf yang akan mendaftar pada tarikh sama dan 23 Mei lalu dengan 21,567 pelajar perempuan berjaya mendapat tawaran atau 58.45 peratus daripada keseluruhan 36,900 tempat kemasukan.

Hanya 35.2 peratus atau 14,277 pelajar lelaki mendapat tempat dalam program pengajian lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Matrikulasi/Asasi/Setaraf (Ijazah Pertama) dan 41.55 peratus atau 15,333 untuk kemasukan program lepasan SPM atau setaraf.

Menurut sumber Kementerian Pengajian Tinggi, jumlah penawaran tempat kepada pelajar perempuan mengatasi pelajar lelaki bagi semua kategori kaum bagi kedua-dua peringkat program pengajian.

Bagi program ijazah pertama, 18,814 atau 65.7 peratus pelajar Bumiputera adalah perempuan berbanding 9,819 atau 34.3 peratus lelaki, Cina (5,909 atau 61.8 peratus perempuan dan 3,660 atau 38.2 peratus lelaki), manakala India dan lain-lain (1,506 atau 65.4 peratus perempuan dan 798 atau 34.6 peratus lelaki).

Sumber itu berkata, bagi program lepasan SPM/setaraf, 21,032 atau 58.50 peratus pelajar Bumiputera adalah perempuan berbanding 14,919 atau 41.50 peratus lelaki, Cina (351 atau 58.50 peratus perempuan dan 249 atau 41.50 peratus lelaki), manakala India dan lain-lain (205 atau 58.74 peratus perempuan dan 144 atau 41.26 peratus lelaki).

Katanya, dominasi kemasukan pelajar perempuan ke IPTA selari jurang gender yang amat ketara antara pelajar perempuan dan lelaki dalam permohonan untuk kemasukan program lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi/Setaraf (Ijazah Pertama), tahun ini.

Beliau berkata, sebanyak 67 peratus atau 41,046 daripada keseluruhan 61,228 permohonan diterima adalah daripada pelajar perempuan dengan jumlahnya melebihi sekali ganda berbanding hanya 33 peratus atau 20,182 calon lelaki.

Malah, bilangan pemohon perempuan pada kemasukan tahun ini meningkat berbanding 40,886 tahun lalu, melebihi sekali ganda daripada 20,141 permohonan oleh pelajar lelaki.

Katanya, bilangan pelajar perempuan mengatasi lelaki bagi permohonan dalam semua kategori kaum yang meliputi 44,305 Bumiputera, Cina (12,342) serta India dan lain-lain (4,581).

Bagi kategori Bumiputera, 68.8 peratus atau 30,471 permohonan diterima daripada perempuan berbanding 31.2 peratus atau 13,834 lelaki, Cina (62.4 peratus atau 7,701 perempuan, 37.6 peratus atau 4,641 lelaki), manakala India dan lain-lain (62.7 peratus atau 2,874 perempuan dan 37.3 peratus atau 1,707 lelaki).

Malah, bilangan calon perempuan jauh mengatasi lelaki bagi permohonan program lepasan SPM/setaraf dalam semua kategori kaum dengan Bumiputera 60.25 peratus, Cina atau 62.87 peratus dan India serta lain-lain 61.56 peratus.

Sementara itu daripada jumlah tempat ditawarkan IPTA bagi program ijazah pertama, Universiti Utara Malaysia (UUM) mendahului senarai dengan mengambil seramai 4,392 pelajar baru, diikuti Universiti Malaysia Sabah (UMS) (4,001) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) (3,717).

Universiti Sains Malaysia (USM) (3,694), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (3,436), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) (2,973), Universiti Malaya (UM) (2,819) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (2,495), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (2,304), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) (2,218), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) (1,945), Universiti Malaysia Pahang (UMP) (1,674), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) (1,406).

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) (1,168), Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA – sebelum ini dikenali sebagai Universiti Darul Iman Malaysia/UDM) (881), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) (678), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) (445) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (260).

Tuesday, June 29, 2010

UiTM ambil 5,000 pelajar miskin: Tawaran ikuti pengajian pradiploma selama 6 bulan secara percuma


Oleh Badrul Kamal Zakaria

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil kira-kira 5,000pelajar daripada anak golongan miskin yang tidak mendapat keputusan cemerlang untuk mengikuti pengajian pradiploma.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mereka yang dipilih ditempatkan di semua kampus UITM di seluruh negara dan akan mengikuti pengajian pada peringkat pradiploma selama enam bulan secara percuma.

Tawaran itu adalah antara tanggungjawab sosial (CSR) UiTM yang diusahakan sendiri oleh universiti itu melalui program Mengubah Destini Anak Bangsa, katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan ke UiTM sempena Minggu Mesra Siswa di Kolej Mawar, UiTM, di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar. Seramai 60,000 pelajar baru UiTM mendaftar untuk mengikuti pengajian pada sesi pengajian kali ini.

Pengambilan pelajar daripada anak golongan miskin itu bagi mengikuti program berkenaan sudah dijalankan dan kebanyakan mereka ditempatkan di kampus cawangan UiTM seluruh negara.

UiTM akan memberi pertimbangan untuk memberi pelepasan bayaran yuran sepanjang pengajian mereka dengan syarat mereka yang terpilih menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang.

Mohamed Khaled berkata, mereka yang mendapat keputusan cemerlang akan ditawarkan pengajian peringkat diploma mengikut bidang yang bersesuaian.

Menerusi program CSR lain, Mohamed Khaled berkata, golongan pekerja yang berminat untuk mendapatkan pendidikan tinggi, tetapi tidak berkemampuan kini berpeluang berbuat demikian di UiTM.

Pengajian secara percuma itu akan ditawarkan pada masa terdekat dan pelajar akan mengikutinya menerusi program pengajian jarak jauh dan luar kampus di semua kampus UiTM.

Mohamed Khaled berkata, tawaran itu adalah untuk semua peringkat umur.
 

Katanya, mereka yang berminat akan mengikuti satu program pengajian khas sebelum diserapkan ke peringkat diploma bagi mengikuti kursus bersesuaian pada semester berikutnya bergantung kepada keputusan yang dicapai.

Katanya, maklumat lanjut mengenai tawaran pengajian itu boleh didapati menerusi iklan yang akan disiarkan oleh UiTM.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled meminta agar universiti lain di negara ini terutama universiti swasta menjadi lebih kreatif dalam menjalankan program CSR selain memberikan biasiswa untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

Monday, June 28, 2010

Sesi pengajian baru: Kalendar akademik IPT bermula Ogos selaras universiti luar negara, mudahkan kemasukan pelajar asing

Oleh: Khairina Yasin (kayrina@bharian.com.my)
 
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi mengubah kalendar akademik di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membolehkan sesi pengajian bermula pertengahan Ogos berbanding Julai sekarang, mulai tahun depan.
 
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Raden Umar Sohadi, berkata perubahan itu bagaimanapun tertakluk kepada kesediaan Kementerian Pelajaran mengubah kalendar persekolahan sedia ada.
 
“Kita sudah menetapkan minggu ketiga Ogos sebagai permulaan kalendar akademik baru selepas beberapa siri perbincangan dengan Kementerian Pelajaran, MARA dan agensi berkaitan.
 
“Malah, perbincangan berkaitan perkara ini masih berjalan sehingga satu keputusan muktamad dicapai untuk kebaikan semua pihak,” katanya, ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Raden Umar berkata, keputusan menganjakkan sesi sebagai usaha menyelaraskan sesi pengajian yang dilaksanakan kebanyakan universiti luar negara.

Usaha itu kata beliau, sejajar dengan matlamat kerajaan memperkasakan pengajian tinggi yang menyumbang kepada kemasukan lebih ramai pelajar asing.



Perubahan itu juga katanya, memudahkan pelaksanaan program mobiliti pelajar dan tenaga pengajar institusi pengajian tinggi tempatan ke universiti luar negara.


“Matlamat kita bukan hanya untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, malah mengharapkan pelajar terbaik dari luar negara memilih universiti di negara ini sebagai institusi pilihan.


“Kemasukan golongan ini meningkatkan kecemerlangan universiti tempatan di peringkat global,” katanya.

Ketika ini, Raden Umar berkata, sesi pengajian IPT bermula antara akhir Jun dan awal Julai, manakala kebanyakan universiti luar negara terutama di Asia Barat bermula sekitar Ogos.

“Perubahan itu relevan dengan matlamat merealisasikan sasaran negara menjadi hub pendidikan tinggi serantau.

“Bagaimanapun, kita perlu memikirkan keupayaan dan kesediaan Kementerian Pelajaran terhadap pelaksanaan ini kerana mereka memerlukan masa untuk melaksanakan perubahan sama,” katanya.

Mengulas kebimbangan sesetengah pihak berikutan wujudnya tempoh rehat panjang di kalangan sekolah sebelum memasuki sesi universiti jika dilaksanakan, Raden Umar berkata, kementerian tidak dapat lari daripada memikirkan implikasi pelaksanaan dasar itu.

“Ibu bapa harus bijak dan bertanggungjawab dalam merencana aktiviti sesuai bagi membolehkan anak masing-masing mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

Kemasukan prasekolah meningkat daripada 59.56 peratus pada tahun 2005 kepada 70.4 peratus tahun lalu.


Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata jumlah itu berdasarkan laporan "Education for All (EFA): Meet Decade Assessment" bagi 2000 hingga 2005 yang diterbitkan Kementerian Pelajaran.

"Kadar kemasukan di sekolah rendah juga meningkat 0.3 peratus, iaitu 95.35 peratus pada 2005 kepada 95.65 peratus pada 2009.

"Kadar murid yang menamatkan pelajaran sehingga ke Tahun Enam pula meningkat daripada 98.09 peratus pada 2005 kepada 99 peratus pada tahun lepas.

"Ini disebabkan bantuan yang diberi kepada murid seperti buku teks, skim bantuantuisyen, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan kemudahan asrama," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) mengenai status negara dalam pencapaian EFA seperti yang ditetapkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Wee berkata, dalam usaha meningkatkan pendidikan untuk semua, kementerian menjalankan beberapa program seperti kajian semula pendidikan bersama UNESCO dan kajian menjejak kanak-kanak tidak bersekolah, yang akan dijalankan mulai tahun ini hingga 2014 bersama Tabung Kanak-kanak Bangsa Bersatu (UNICEF).

Mengenai bantuan dan kerjasama dengan negara kurang maju dalam mencapai EFA, Wee berkata kerajaan memperuntukkan geran permulaan sebanyak AS$5 juta (RM16 juta) bagi tahun 2010 dan AS$1 juta (RM3.2 juta) bagi tahun berikutnya.

"Bantuan akan dilaksanakan melalui Program Kerjasama Malaysia-UNESCO (MUCP) yang berperanan meningkatkan kerjasama selatan-selatan melalui program bina upaya yang akan memberi manfaat kepada negara-negara kurang maju, negara-negara kepulauan kecil dan negara-negara di bawah agenda utama Afrika," katanya.





Layak Terima Pinjaman Penuh PTPTN Jika Pendapatan Keluarga Bawah RM4,000



Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang pendapatan bulanan bersih keluarga mereka RM4,000 ke bawah layak mendapat pinjaman penuh iaitu meliputi yuran dan sara hidup dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 Julai ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kadar pendapatan bersih bulanan keluarga pelajar yang layak mendapat pinjaman penuh sebelum ini ialah RM3,000 ke bawah.

"Sebelum ini juga keluarga pelajar berpendapatan bersih RM3,000 hingga RM5,000 sebulan mendapat pinjaman yang meliputi yuran dan sebahagian sara hidup, manakala yang berpendapatan RM5,000 sebulan ke atas hanya dapat pinjaman untuk yuran.