SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Tuesday, August 10, 2010

Graduan cemerlang terima ijazah di KLIA

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
2010/08/10
TUANKU Syed Faizuddin Putra menyampaikan ijazah dan Anugerah Emas Diraja kepada Mohd Abd Hafiz sambil diperhatikan Raja Puan Muda, Lailatul Shahreen Akashah dan Kamarudin pada majlis ringkas di VIP Lounge, KLIA, semalam.


Jurutera dapat anugerah diraja daripada Raja Muda Perlis

SEPANG: Pemenang Anugerah Emas Diraja Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohd Abd Hafiz Zakaria, 25, yang terlepas menghadiri konvokesyen Sabtu lalu kerana kematian ibunya, menerima ijazah dan anugerahnya daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail pada satu majlis ringkas, semalam.

Majlis berkenaan diadakan di VIP Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus sebelum Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, menaiki pesawat ke Pulau Pinang untuk pulang ke Perlis. Tuanku Syed Faizuddin adalah Canselor UniMAP.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Mohd Abd Hafiz ketika ditemui berkata, kesudian Tuanku Syed Faizuddin menyampaikan ijazah yang sepatutnya diterima pada Sabtu lalu mengubat kesedihannya yang kematian ibunya pada malam Jumaat lalu.

"Saya terharu dan gembira atas kesudian Raja Muda Perlis menyampaikan ijazah kepada saya walaupun konvokesyen sudah berakhir, namun saya sedih kerana ibu tiada bersama untuk melihat hari istimewa ini.

"Mungkin tiada rezeki untuk saya ambil ijazah di atas pentas dan berucap di hadapan rakan-rakan, tetapi majlis ini sedikit sebanyak mengubat rasa sedih itu," katanya.
Pada majlis itu juga, Tuanku Syed Faizuddin bagi pihak UniMAP menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Mohd Abd Hafiz.

Mohd Abd Hafiz yang menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar, terpaksa bergegas pulang selepas ibunya, Jaonah Bahari, 61, yang menghidap ketumbuhan dalam otak, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 10.20 malam, Jumaat lalu, beberapa jam sebelum majlis konvokesyen universiti itu.

Beliau menerima panggilan telefon mengenai berita buruk itu ketika beratur untuk menerima pingat pada satu majlis makan malam anjuran universiti bagi meraikan pelajar berjaya.

Mohd Abd Hafiz yang kini bekerja sebagai jurutera di Melaka reda dengan segala yang berlaku dan menyifatkannya sebagai satu dugaan yang terpaksa dilaluinya.

"Saya sempat memberitahu ibu sebelum beliau sakit tenat mengenai kejayaan mendapat Anugerah Emas Diraja dan ibu sangat teruja untuk menghadiri konvokesyen saya, tetapi takdir Tuhan mengatasi segala-galanya,” katanya.

"Saya juga terkilan kerana tidak dapat membalas jasa ibu saya yang bersusah payah membesarkan kami sekeluarga selepas kematian ayah," katanya.

No comments: