SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Friday, October 1, 2010

Peperiksaan SPM 2010 bermula 23 November

KUALA LUMPUR: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan diadakan mulai 23 November ini dan bukannya 22 November sebagaimana yang diumum sebelum ini, berikutan cuti umum di Johor.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sudah memaklumkan mengenai tarikh baru peperiksaan SPM itu kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri melalui surat siaran bertarikh 7 Mei lalu.

Pindaan tarikh itu juga dimuat turun di laman sesawang LPM pada minggu pertama Jun lalu, sementara jadual waktu peperiksaan SPM yang baru sudah pun dicetak dan dihantar ke semua Jabatan Pelajaran negeri untuk diedarkan ke semua sekolah menengah pada 23 Julai lalu, katanya.

Kementerian itu berkata, pemindaan tarikh peperiksaan dibuat berikutan langkah kerajaan Johor mewartakan 22 November sebagai cuti umum negeri itu sempena Hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Dengan itu peperiksaan SPM tahun ini akan bermula dari 23 November dan berakhir pada 20 Disember 2010, katanya. BERNAMA