SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Wednesday, March 24, 2010

2 kementerian tawar inisiatif bantu pelajar gagal SPM 2009

PUTRAJAYA, 19 Mac — Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia akan berbincang bagi menyediakan kaedah terbaik membantu para pelajar yang kurang berjaya dan gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata pihaknya serta agensi berkaitan akan memikirkan inisiatif bagi membantu pelajar terbabit menguasai kemahiran sesuai supaya mampu meningkatkan bidang pelajaran dan kerjaya mereka.

“Kementerian Pelajaran juga tidak akan meminggirkan sekolah yang memperoleh pencapaian yang rendah.

“Kita akan terus berusaha merapatkan jurang pencapaian gred purata sekolah terutamanya antara sekolah luar bandar dan sekolah bandar,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2009 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 buah sekolah pencapaian cemerlang SPM 2009, 10 pelajar cemerlang serta empat pelajar istimewa dan dua pelajar sekolah sukan cemerlang. — Bernama

Friday, March 19, 2010

35 Petua Pelajar Cemerlang dari Dr Fadzilah Kamsah

Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:
  1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
  2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
    1. kita ingat 10 % apayang dibaca
    2. kita ingat 20% apa yang didengar
    3. kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
    4. kita ingat 70% apa yang dicakapkan
    5. kita ingat 90% setelah dipraktikkan
  3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
  4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).


...Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya....


  1. Belajar dalam  persekitaran kondusif.
    1. pastikan cahaya adalah terang
    2. kurangkan gangguan bunyi
    3. tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
    4. tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
    5. kerusi dan meja menghadap kiblat
    6. jangan lupa untuk senyum
  2. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
  3. Mengulang kaji menggunakan kaedah 'output learning' iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
  4. Tahu teknik merangsang memori:
    1. memasukkan maklumat dalam memori (registration)
    2. menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
    3. mengingat kembali (recall)
    4. menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
  5. Sentiasa awal dan mendahului:
    1. persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
    2. pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
    3. belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
    4. untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
  6. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
  7. Mempunyai teknik membaca yang betul:
    1. duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
    2. memberikan tumpuan sepanuhnya
    3. menggunakan jari telunjuk untuk membaca
    4. menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
  8. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
  9. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
  10. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
  11. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
  12. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
  13. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
  14. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
  15. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
  16. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
  17. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
  18. Tahu petua mengulang kaji
    1. cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
    2. siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
    3. duduk tegak dikerusi yang selesa
    4. baca doa penerang hati
    5. baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
    6. fikir dan ingat kembali isi utama
    7. catat/lakar
    8. semak semula ketepatan maklumat
    9. ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
    10. buat rumusan
    11. jawab soalan
    12. tampal maklumat yang rumit di dinding
    13. baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
  19. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
  20. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
    1. jangan makan kepala ikan
    2. jangan makan organ dalaman
    3. jangan minum semasa makan
    4. jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
    5. jangan melihat kemaluan
    6. jangan melihat buih
    7. jangan membaca nama pada batu nisan
    8. banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
    9. banyakkan makan kismis, kurma dan madu
    10. banyakkan makan kekacang
    11. pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
    12. jangan makan sehingga terlalu kenyang
    13. jangan kencing berdiri
  21. Tahu kemahiran mengingat:
    1. tampal nota-nota penting di dinding
    2. tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
    3. gunakan kaedah akronim
    4. reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
    5. pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
  22. Cekap mengatur jadual belajar:
    1. mempunyai jadual belajar
    2. patuh kepada jadual
    3. buat jadual yang boleh diikuti
  23. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
  24. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
  25. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
  26. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
  27. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
  28. Pelbagaikan tempat belajar.
  29. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
  30. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
  31. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
    1. taat kepada Allah
    2. mendirikan sembahyang
    3. menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
    4. hormati & sayangi guru
    5. bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
    6. suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
    7. membantu rakan yang memerlukan
    8. berdoa dan bersyukur kepada Allah
    9. sentiasa bertawakal
    10. mahir dalam setiap mata pelajaran


Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat.

Friday, March 12, 2010

Calon OKU bukti cipta kejayaan cemerlang

Berita Harian: 12/03/2010

KOTA BAHRU: Ketiadaan kaki dan tangan sejak lahir, tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, Suhazli Wan Muhamad, 17, memperoleh 7A dan 4B dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, semalam.

Beliau memperoleh Gred A bagi Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik, Gred A- bagi Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan dan Sains Pertanian, manakala Gred B bagi Fizik, Kimia, Biologi serta Inggeris bagi Sains dan Teknologi. 

“Tiada jadual khusus, tetapi sentiasa memastikan saya memahami dengan baik apa yang diajar guru sebelum mendalaminya dengan latihan tubi. “Kemiskinan keluarga dengan kekurangan fizikal pada diri, membuatkan saya tekad belajar bersungguh-sungguh supaya mampu berdikari satu hari nanti,” katanya yang bercita-cita menjadi akauntan.

Pelajar Maktab Sultan Ismail (SIC), Ahmad Zairi Zaidi, membuktikan masalah rabun penglihatan sejak berusia enam tahun kerana jangkitan kuman bukan penghalang untuknya mencatat keputusan 9A dan 1B dalam SPM.

Katanya, dia duduk di barisan depan dalam kelas kerana memerlukan pengamatan lebih dekat walaupun keadaan rabun itu menyukarkannya membaca dengan cepat.

“Saya meminta bantuan rakan menyalin bahan pembelajaran, selain menggunakan kanta pembesar ketika belajar di rumah,” katanya. 

Di KUALA TERENGGANU, hasrat Nur Najmi Syamila Mohd Sakari, 18, dari SMK Bukit Besar di sini, membuktikan orang kurang upaya (OKU) sepertinya mampu mencipta kejayaan akhirnya tercapai apabila memperoleh keputusan 8A+ dan 2B.

Beliau antara lima pelajar terbaik SPM Terengganu, berkata usaha bersungguh-sungguh, yakin pada kemampuan diri dan selalu berdoa kepada Allah SWT memohon kejayaan menjadi resipi kejayaannya.

“Masalah penglihatan ini memaksa saya mendekatkan mata dengan buku setiap kali mengulang kaji pelajaran yang mengambil masa antara empat hingga lima jam sehari pada waktu malam,” katanya yang mahu menjadi guru Pendidikan Khas.

DI IPOH, kecacatan Tan Bing Xuan, pelajar SMK Ave Maria Convent di sini dan Nor Umairah Ahmad Jamhari, pelajar SMK Raja Muda Musa, Teluk Intan, menjadi pembakar semangat mereka untuk mencatat keputusan cemerlang.

Tan yang menghidap penyakit Generalised Dystonia sejak berusia 10 tahun dan terpaksa menggunakan kerusi roda memperoleh keputusan 8A+ dan 2A.

Nor Umairah pula yang menjawab semua kertas peperiksaan menggunakan kaki, mendapat 2A+, 3A, 3B+, 1B dan 1C.


Gladys pelajar terbaik SPM: Digelar mesin fotostat oleh guru, rakan

Oleh Misiah Taib, Sharifah Salwa Syed Akil, Sazarina Shahrim, M Hifzuddin Ikhsan dan Nor Fariza Ramlan


Berita Harian:12/03/2010


KUALA LUMPUR: Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009, Gladys Tan Yee Kim tidak mempunyai formula khas untuk belajar kecuali rajin mengambil nota ringkas dan sentiasa menyiapkan kerja sekolah.

Gladys, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road di Kuching, Sarawak, mendapat keputusan 10A+, menganggap usikan rakan dan guru sekolah yang memanggilnya sebagai mesin fotostat berbaloi kerana berjaya muncul sebagai pelajar terbaik keseluruhan.

“Keputusan hari ini memang mengejutkan kerana semua A+ kerana saya tidak pernah menetapkan sasaran untuk menjadi pelajar terbaik, sebab itu saya seperti bermimpi lagi,” katanya ketika ditemui di sekolahnya, semalam. Anak bongsu daripada empat beradik itu bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang kaji hayat.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata beliau gembira dengan kejayaan Gladys Tan yang muncul pelajar terbaik keseluruhan SPM.

“Saya sangat gembira. Tahniah kepada beliau,” kata Taib mengulas pencapaian Gladys.

Pelajar kedua terbaik negara, Grace Kiew Sze-Ern dari SMK Sri Aman, Petaling Jaya menyifatkan pembelajaran secara berterusan di rumah menjadi resipi kepada kejayaannya.
Grace Kiew yang memperoleh 15A+ berpegang dengan prinsip pembelajaran secara teratur, tidak terlalu tertekan, tetapi memberi tumpuan sepenuhnya ketika di kelas serta mendapat rehat yang mencukupi.

Beliau yang mengikuti kursus A-Level di kolej swasta ibu negara sekarang bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan atau pergigian.

Pelajar terbaik Kuala Lumpur, Phoon Yik Chi dari SMK Seri Bintang Selatan yang memperoleh 13A+, memperuntukkan dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji.

Rakan sekolahnya, Nur Hidayatul Nabila Azmi membuktikan tanpa kelas tuisyen beliau mampu memperoleh keputusan cemerlang, asalkan tekun mengulang kaji.

Beliau yang mendapat 10A+ dan 1A menganggap masa empat jam sehari untuk belajar selain solat berjemaah tiga kali seminggu bersama keluarga serta doa ayahnya setiap kali selesai mengimamkan solat menyumbang kepada kejayaannya.

DI PUTRAJAYA, fokus dalam kelas dan patuh kepada nasihat guru antara resipi kejayaan pelajar terbaik Sekolah Menengah Alam Shah di sini, Shahrir Yasin yang memperoleh 10A+ dan 1A.

Baginya, ibu bapanya dan guru banyak mendorong beliau untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM.

Rakannya, Mohamad Muzakkir Abd Ghafar yang turut mendapat keputusan sama tetap gembira walaupun sasarannya untuk mendapat 11A+ tidak tercapai.

SPM: 7,987 cemerlang

Utusan Malaysia: 12/03/2010

• Seramai 7,987 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 memperoleh gred cemerlang (A+, A, dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

•Daripada jumlah itu, seramai 255 calon mendapat gred cemerlang tertinggi A+ iaitu 214 calon dari sekolah Kementerian Pelajaran manakala 41 calon lagi merupakan calon persendirian, swasta dan sekolah tajaan agensi.

•Pada keseluruhannya pencapaian calon kali ini amat membanggakan dan melebihi pencapaian tahun sebelumnya.

•Pencapaian calon mengikut lokasi bandar dan luar bandar juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

SPM: TPM mahu tingkatkan usaha


Utusan Malaysia: 12/03/2010

KINABATANGAN 11 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu usaha bagi meningkatkan peratusan pelajar cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diteruskan pada masa depan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain peratusan kelulusan, usaha merapatkan jurang yang ada seperti tahap kelulusan antara pelajar bandar dan luar bandar juga perlu dipertingkatkan.

"Saya ucapkan tahniah kerana secara keseluruhannya peratusan kelulusan tahun lalu meningkat berbanding tahun sebelumnya," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri. Mohd Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Terdahulu, beliau yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke negeri ini dibawa melawat ke tapak projek penempatan mangsa banjir di Kampung Pelangi.

Seramai 7,987 calon SPM 2009 memperoleh gred cemerlang bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 6,277 pada 2008.

Sementara itu Muhyiddin berkata, selain merapatkan jurang antara pelajar bandar dan luar bandar, jurang berkaitan mata pelajaran dan jantina juga perlu diberi perhatian.

"Sebagai contoh, seperti kita tahu keputusan pelajar perempuan jauh lebih baik dari lelaki. Ini juga kita mesti beri perhatian," katanya.

Mengenai langkah kementerian bagi meningkatkan peratusan kelulusan, beliau berkata, usaha ini termasuk meningkatkan kualiti tenaga pengajar, kemudahan di sekolah dan penempatan guru yang lebih baik.

Thursday, March 4, 2010

Bantu pelajar kurang kemampuan

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Dr. Noel Robert (dua dari kiri) dan Wahid Hashim pada majlis pelancaran Biasiswa Utusan-YPC di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
________________________________________

PUTRAJAYA 3 Mac - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan swasta di negara ini disaran membantu kerajaan menyediakan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bagi memastikan golongan itu tidak ketinggalan dalam penguasaan pendidikan sekali gus dapat meningkatkan modal insan terutama membabitkan bidang sains dan teknologi. 

Menurutnya, meskipun kerajaan mengeluarkan peruntukan sehingga berbilion ringgit bagi menyediakan biasiswa namun masih ramai lagi pelajar miskin perlu diberi bantuan.

"Bilangan pelajar yang masih perlukan sokongan kewangan amat besar terutama mereka yang datang daripada keluarga miskin. 

"Walaupun kita memberi keutamaan kepada mereka yang kurang berkemampuan, masih terdapat lagi anak-anak pintar yang di atas sebab-sebab tertentu tidak mendapat pembiayaan," katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah satu komitmen kepada anak Malaysia kerana ia terbuka kepada para pelajar dari pelbagai kaum sekali gus melambangkan gagasan 1Malaysia. 

"Kalau boleh lagi banyak yayasan (menaja biasiswa) adalah lebih baik," katanya.

Justeru, beliau berharap para pelajar yang akan dipilih menerima biasiswa itu dapat mengambil peluang untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Saya berharap pelajar yang terpilih mengambil peluang itu dengan sebaik mungkin dan selepas ambil sijil dan diploma, mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti," katanya.