SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Thursday, March 4, 2010

Bantu pelajar kurang kemampuan

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Dr. Noel Robert (dua dari kiri) dan Wahid Hashim pada majlis pelancaran Biasiswa Utusan-YPC di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
________________________________________

PUTRAJAYA 3 Mac - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan swasta di negara ini disaran membantu kerajaan menyediakan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bagi memastikan golongan itu tidak ketinggalan dalam penguasaan pendidikan sekali gus dapat meningkatkan modal insan terutama membabitkan bidang sains dan teknologi. 

Menurutnya, meskipun kerajaan mengeluarkan peruntukan sehingga berbilion ringgit bagi menyediakan biasiswa namun masih ramai lagi pelajar miskin perlu diberi bantuan.

"Bilangan pelajar yang masih perlukan sokongan kewangan amat besar terutama mereka yang datang daripada keluarga miskin. 

"Walaupun kita memberi keutamaan kepada mereka yang kurang berkemampuan, masih terdapat lagi anak-anak pintar yang di atas sebab-sebab tertentu tidak mendapat pembiayaan," katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah satu komitmen kepada anak Malaysia kerana ia terbuka kepada para pelajar dari pelbagai kaum sekali gus melambangkan gagasan 1Malaysia. 

"Kalau boleh lagi banyak yayasan (menaja biasiswa) adalah lebih baik," katanya.

Justeru, beliau berharap para pelajar yang akan dipilih menerima biasiswa itu dapat mengambil peluang untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Saya berharap pelajar yang terpilih mengambil peluang itu dengan sebaik mungkin dan selepas ambil sijil dan diploma, mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti," katanya.

No comments: