SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Friday, March 12, 2010

SPM: TPM mahu tingkatkan usaha


Utusan Malaysia: 12/03/2010

KINABATANGAN 11 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu usaha bagi meningkatkan peratusan pelajar cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diteruskan pada masa depan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain peratusan kelulusan, usaha merapatkan jurang yang ada seperti tahap kelulusan antara pelajar bandar dan luar bandar juga perlu dipertingkatkan.

"Saya ucapkan tahniah kerana secara keseluruhannya peratusan kelulusan tahun lalu meningkat berbanding tahun sebelumnya," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri. Mohd Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Terdahulu, beliau yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke negeri ini dibawa melawat ke tapak projek penempatan mangsa banjir di Kampung Pelangi.

Seramai 7,987 calon SPM 2009 memperoleh gred cemerlang bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 6,277 pada 2008.

Sementara itu Muhyiddin berkata, selain merapatkan jurang antara pelajar bandar dan luar bandar, jurang berkaitan mata pelajaran dan jantina juga perlu diberi perhatian.

"Sebagai contoh, seperti kita tahu keputusan pelajar perempuan jauh lebih baik dari lelaki. Ini juga kita mesti beri perhatian," katanya.

Mengenai langkah kementerian bagi meningkatkan peratusan kelulusan, beliau berkata, usaha ini termasuk meningkatkan kualiti tenaga pengajar, kemudahan di sekolah dan penempatan guru yang lebih baik.

No comments: