SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Friday, March 12, 2010

Calon OKU bukti cipta kejayaan cemerlang

Berita Harian: 12/03/2010

KOTA BAHRU: Ketiadaan kaki dan tangan sejak lahir, tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, Suhazli Wan Muhamad, 17, memperoleh 7A dan 4B dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, semalam.

Beliau memperoleh Gred A bagi Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik, Gred A- bagi Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan dan Sains Pertanian, manakala Gred B bagi Fizik, Kimia, Biologi serta Inggeris bagi Sains dan Teknologi. 

“Tiada jadual khusus, tetapi sentiasa memastikan saya memahami dengan baik apa yang diajar guru sebelum mendalaminya dengan latihan tubi. “Kemiskinan keluarga dengan kekurangan fizikal pada diri, membuatkan saya tekad belajar bersungguh-sungguh supaya mampu berdikari satu hari nanti,” katanya yang bercita-cita menjadi akauntan.

Pelajar Maktab Sultan Ismail (SIC), Ahmad Zairi Zaidi, membuktikan masalah rabun penglihatan sejak berusia enam tahun kerana jangkitan kuman bukan penghalang untuknya mencatat keputusan 9A dan 1B dalam SPM.

Katanya, dia duduk di barisan depan dalam kelas kerana memerlukan pengamatan lebih dekat walaupun keadaan rabun itu menyukarkannya membaca dengan cepat.

“Saya meminta bantuan rakan menyalin bahan pembelajaran, selain menggunakan kanta pembesar ketika belajar di rumah,” katanya. 

Di KUALA TERENGGANU, hasrat Nur Najmi Syamila Mohd Sakari, 18, dari SMK Bukit Besar di sini, membuktikan orang kurang upaya (OKU) sepertinya mampu mencipta kejayaan akhirnya tercapai apabila memperoleh keputusan 8A+ dan 2B.

Beliau antara lima pelajar terbaik SPM Terengganu, berkata usaha bersungguh-sungguh, yakin pada kemampuan diri dan selalu berdoa kepada Allah SWT memohon kejayaan menjadi resipi kejayaannya.

“Masalah penglihatan ini memaksa saya mendekatkan mata dengan buku setiap kali mengulang kaji pelajaran yang mengambil masa antara empat hingga lima jam sehari pada waktu malam,” katanya yang mahu menjadi guru Pendidikan Khas.

DI IPOH, kecacatan Tan Bing Xuan, pelajar SMK Ave Maria Convent di sini dan Nor Umairah Ahmad Jamhari, pelajar SMK Raja Muda Musa, Teluk Intan, menjadi pembakar semangat mereka untuk mencatat keputusan cemerlang.

Tan yang menghidap penyakit Generalised Dystonia sejak berusia 10 tahun dan terpaksa menggunakan kerusi roda memperoleh keputusan 8A+ dan 2A.

Nor Umairah pula yang menjawab semua kertas peperiksaan menggunakan kaki, mendapat 2A+, 3A, 3B+, 1B dan 1C.


No comments: