SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Friday, November 25, 2011

Kempen Kumpul Buku Bersama Siswa Kolej UNITI


Kempen yang diberi nama “KEMPEN KUMPUL BUKU BERSAMA SISWA KOLEJ UNITI” ini mensasarkan untuk mengumpulkan buku-buku terbitan dari tahun 2008 seperti berikut:

· Buku rujukan mata pelajaran peringkat sekolah rendah dan menengah.
· Buku latihan ulangkaji mata pelajaran peringkat sekolah rendah dan menengah.
· Buku fiksyen Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
· Bacaan umum (ilmiah).
· Buku-buku terpakai dari pelajar senior Kolej UNITI dalam pelbagai jurusan.

Kepada penderma yang ingin menyampaikan sumbangan, anda boleh menghantar sumbangan secara terus atau melalui pos ke alamat tertera di bawah :

Yayasan UNITI

Kompleks UNITI Pasir Panjang

71250 Port Dickson

Negeri Sembilan

Untuk sebarang pertanyaan menegenai program yang berlansung dan aktiviti Yayasan UNITI sila hubungi pegawai kami, Cik Siti Aminah Mohamad Farid di aminah.farid@uniti.edu.my atau
Tel : 06 - 661 9211 / 06 - 661 0510
Faks : 06 -661 9022



Friday, October 1, 2010

Peperiksaan SPM 2010 bermula 23 November

KUALA LUMPUR: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan diadakan mulai 23 November ini dan bukannya 22 November sebagaimana yang diumum sebelum ini, berikutan cuti umum di Johor.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sudah memaklumkan mengenai tarikh baru peperiksaan SPM itu kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri melalui surat siaran bertarikh 7 Mei lalu.

Pindaan tarikh itu juga dimuat turun di laman sesawang LPM pada minggu pertama Jun lalu, sementara jadual waktu peperiksaan SPM yang baru sudah pun dicetak dan dihantar ke semua Jabatan Pelajaran negeri untuk diedarkan ke semua sekolah menengah pada 23 Julai lalu, katanya.

Kementerian itu berkata, pemindaan tarikh peperiksaan dibuat berikutan langkah kerajaan Johor mewartakan 22 November sebagai cuti umum negeri itu sempena Hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Dengan itu peperiksaan SPM tahun ini akan bermula dari 23 November dan berakhir pada 20 Disember 2010, katanya. BERNAMA

Saturday, September 4, 2010

Majlis Penyampaian Sumbangan Misi Satu Keluarga Satu Graduan Yayasan UNITI

Port Dickson: Seramai 15 pelajar Tingkatan Lima SMK Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan telah menerima sumbangan dalam bentuk wang saku, pakaian seragam sekolah, buku ulangkaji, pembiayaan kos tuisyen, yuran sekolah dan sebagainya daripada Yayasan UNITI . Para pelajar berkenaan adalah peserta  yang telah berjaya dipilih untuk menyertai Misi Satu Keluarga Satu Graduan yang dianjurkan oleh Yayasan UNITI.

Majlis berkenaan diadakan di Dewan SMK Pasir Panjang semasa Hari Perhimpunan Sekolah yang disaksikan oleh seramai 700 pelajar dan para guru. 

Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Eksekutif Yayasan UNITI, En Saiful Nizam Bin A.b Shokor dan diiringi Puan Pengetua dan Guru Penolong Kanan 1 SMK Panjang Panjang.

En Saiful Nizam Ab Shokor semasa ucapannya telah merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada 15 peserta berkenaan kerana telah berjaya terpilih sebagai peserta Misi Satu Keluarga Satu Graduan bagi tahun 2010. Beliau mengharapkan para peserta dapat mencipta kejayaan didalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. 

“15 pelajar berkenaan amat bertuah dipilih sebagai peserta Misi Satu Keluarga Satu Graduan kerana pelajar seluruh Malaysia yang memohon adalah ramai dan Yayasan UNITI hanya memilih mereka sahaja” katanya.

Beliau juga sempat memberikan kata-kata semangat kepada 700 pelajar yang lain untuk berjaya pada masa hadapan.

Di akhir ucapan, beliau telah merakamkan ucapan infiniti terima kasih kepada pihak pengurusan dan warga SMK Pasir Panjang terutamanya Puan Pengetua, Guru Penolong Kanan 1 dan Guru Kaunselor di atas kebenaran dan kerjasama yang telah diberikan bagi menjayakan Misi Satu Keluarga Satu Graduan ini.

Tuesday, August 10, 2010

Graduan cemerlang terima ijazah di KLIA

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
2010/08/10
TUANKU Syed Faizuddin Putra menyampaikan ijazah dan Anugerah Emas Diraja kepada Mohd Abd Hafiz sambil diperhatikan Raja Puan Muda, Lailatul Shahreen Akashah dan Kamarudin pada majlis ringkas di VIP Lounge, KLIA, semalam.


Jurutera dapat anugerah diraja daripada Raja Muda Perlis

SEPANG: Pemenang Anugerah Emas Diraja Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohd Abd Hafiz Zakaria, 25, yang terlepas menghadiri konvokesyen Sabtu lalu kerana kematian ibunya, menerima ijazah dan anugerahnya daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail pada satu majlis ringkas, semalam.

Majlis berkenaan diadakan di VIP Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus sebelum Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, menaiki pesawat ke Pulau Pinang untuk pulang ke Perlis. Tuanku Syed Faizuddin adalah Canselor UniMAP.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Mohd Abd Hafiz ketika ditemui berkata, kesudian Tuanku Syed Faizuddin menyampaikan ijazah yang sepatutnya diterima pada Sabtu lalu mengubat kesedihannya yang kematian ibunya pada malam Jumaat lalu.

"Saya terharu dan gembira atas kesudian Raja Muda Perlis menyampaikan ijazah kepada saya walaupun konvokesyen sudah berakhir, namun saya sedih kerana ibu tiada bersama untuk melihat hari istimewa ini.

"Mungkin tiada rezeki untuk saya ambil ijazah di atas pentas dan berucap di hadapan rakan-rakan, tetapi majlis ini sedikit sebanyak mengubat rasa sedih itu," katanya.
Pada majlis itu juga, Tuanku Syed Faizuddin bagi pihak UniMAP menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Mohd Abd Hafiz.

Mohd Abd Hafiz yang menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar, terpaksa bergegas pulang selepas ibunya, Jaonah Bahari, 61, yang menghidap ketumbuhan dalam otak, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 10.20 malam, Jumaat lalu, beberapa jam sebelum majlis konvokesyen universiti itu.

Beliau menerima panggilan telefon mengenai berita buruk itu ketika beratur untuk menerima pingat pada satu majlis makan malam anjuran universiti bagi meraikan pelajar berjaya.

Mohd Abd Hafiz yang kini bekerja sebagai jurutera di Melaka reda dengan segala yang berlaku dan menyifatkannya sebagai satu dugaan yang terpaksa dilaluinya.

"Saya sempat memberitahu ibu sebelum beliau sakit tenat mengenai kejayaan mendapat Anugerah Emas Diraja dan ibu sangat teruja untuk menghadiri konvokesyen saya, tetapi takdir Tuhan mengatasi segala-galanya,” katanya.

"Saya juga terkilan kerana tidak dapat membalas jasa ibu saya yang bersusah payah membesarkan kami sekeluarga selepas kematian ayah," katanya.

Monday, August 9, 2010

RM500j pinjaman PTPTN digantung: 112,132 pelajar IPT tidak penuhi syarat perjanjian mencapai GPA 2.0

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
2010/08/09

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggantung hampir RM500 juta pengeluaran pinjaman kepada 112,132 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang gagal mendapat nilai purata gred kumulatif (GPA) 2.0 dalam tempoh sembilan tahun bermula 2002 hingga kini.

Daripada jumlah itu, sebahagian besarnya membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman, berkata tahun ini, seramai 4,383 pelajar gagal mendapat GPA 2.0 membabitkan RM31.36 juta pinjaman disekat.

“Kebanyakan pelajar yang disekat pinjaman adalah penuntut IPTS. Jika gagal mencapai GPA 2.0 pada semester satu, mereka perlu buat persediaan serta perlu mendapat GPA melebihi 2.0 pada semester kedua. Jika tidak, masuk semester ketiga PTPTN akan menahan pinjaman mereka.

“Oleh itu kita berharap IPTS memberi perhatian pengambilan pelajar yang benar-benar berkualiti ke pusat pengajian mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Tahun 2007, 2008 dan 2009 mencatat jumlah paling tinggi penggantungan membabitkan 61,485 pelajar dengan jumlah pinjaman mencecah RM300 juta. Pada 2002 pula, membabitkan 23 pelajar dengan jumlah pinjaman RM107,685, diikuti 2003 membabitkan 97 pelajar (RM394,848), 2004 membabitkan 1,475 pelajar (RM4.9 juta) 2005 membabitkan 21,994 pelajar (RM79.4 juta) dan 2006 membabitkan 22,675 pelajar (RM86.4 juta|).

“PTPTN mengambil tindakan itu berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pelajar ketika membuat permohonan. PTPTN juga mahu memastikan pelajar memberi perhatian serius terhadap pengajian mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pelajar yang pendapatan isi keluarga RM4,000 ke bawah layak mendapat pinjaman penuh PTPTN meliputi yuran dan sara hidup, beliau berkata pada asasnya semua rakyat Malaysia layak mendapat pinjaman pengajian daripada PTPTN, tetapi pelajar pendapatan isi keluarga melebihi RM4,000 mendapat sebahagian pinjaman saja.

“Kita mempunyai dana mencukupi untuk menampung keperluan pelajar bagi melanjutkan pengajian ke IPT. Malah, bayaran balik pinjaman buat masa ini agak baik, walaupun ada yang tidak mahu membayarnya,” katanya.

Wednesday, July 21, 2010

Perbincangan Meja Bulat cenderung mansuh UPSR, PMR

GENTING HIGHLANDS 20 Julai - Perbincangan Meja Bulat pertama berkaitan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilihat cenderung kepada langkah pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kerajaan akan meneliti hasil perbincangan itu dengan lebih mendalam sebelum keputusan akhir diumumkan nanti.

Menurut beliau, perbincangan Meja Bulat kedua akan diadakan minggu depan dan kedua-dua input daripada perbincangan itu bakal dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ogos ini.
 
"Penetapan kepada isu ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana ia melibatkan keputusan utama terhadap pendidikan negara. Justeru, kita akan teliti pandangan semua pihak.

"Jika dimansuhkan, ia akan membabitkan kepada alternatif bagi menggantikan peperiksaan sedia ada.
"Hasil daripada keputusan Meja Bulat itu akan dibentangkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Ogos nanti,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-17 2010, di Institut Aminuddin Baki (IAB), dekat sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan keputusan kesatuan-kesatuan guru yang bersetuju dengan cadangan memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR pada perbincangan Meja Bulat pertama yang berlangsung di Putrajaya.-Dipetik dari Utusan Malaysia