SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Monday, August 9, 2010

RM500j pinjaman PTPTN digantung: 112,132 pelajar IPT tidak penuhi syarat perjanjian mencapai GPA 2.0

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
2010/08/09

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggantung hampir RM500 juta pengeluaran pinjaman kepada 112,132 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang gagal mendapat nilai purata gred kumulatif (GPA) 2.0 dalam tempoh sembilan tahun bermula 2002 hingga kini.

Daripada jumlah itu, sebahagian besarnya membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman, berkata tahun ini, seramai 4,383 pelajar gagal mendapat GPA 2.0 membabitkan RM31.36 juta pinjaman disekat.

“Kebanyakan pelajar yang disekat pinjaman adalah penuntut IPTS. Jika gagal mencapai GPA 2.0 pada semester satu, mereka perlu buat persediaan serta perlu mendapat GPA melebihi 2.0 pada semester kedua. Jika tidak, masuk semester ketiga PTPTN akan menahan pinjaman mereka.

“Oleh itu kita berharap IPTS memberi perhatian pengambilan pelajar yang benar-benar berkualiti ke pusat pengajian mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Tahun 2007, 2008 dan 2009 mencatat jumlah paling tinggi penggantungan membabitkan 61,485 pelajar dengan jumlah pinjaman mencecah RM300 juta. Pada 2002 pula, membabitkan 23 pelajar dengan jumlah pinjaman RM107,685, diikuti 2003 membabitkan 97 pelajar (RM394,848), 2004 membabitkan 1,475 pelajar (RM4.9 juta) 2005 membabitkan 21,994 pelajar (RM79.4 juta) dan 2006 membabitkan 22,675 pelajar (RM86.4 juta|).

“PTPTN mengambil tindakan itu berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pelajar ketika membuat permohonan. PTPTN juga mahu memastikan pelajar memberi perhatian serius terhadap pengajian mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pelajar yang pendapatan isi keluarga RM4,000 ke bawah layak mendapat pinjaman penuh PTPTN meliputi yuran dan sara hidup, beliau berkata pada asasnya semua rakyat Malaysia layak mendapat pinjaman pengajian daripada PTPTN, tetapi pelajar pendapatan isi keluarga melebihi RM4,000 mendapat sebahagian pinjaman saja.

“Kita mempunyai dana mencukupi untuk menampung keperluan pelajar bagi melanjutkan pengajian ke IPT. Malah, bayaran balik pinjaman buat masa ini agak baik, walaupun ada yang tidak mahu membayarnya,” katanya.

No comments: