SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Wednesday, July 21, 2010

Kurikulum sesuai: Dua kementerian perlu serius tentukan sistem pendidikan


Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@nstp.com.my
2010/07/21

KEMENTERIAN Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengadakan perbincangan bersama mengenai kurikulum sesuai bagi semua peringkat pendidikan dengan mengambil kira proses pembangunan insan secara holistik. 

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Zakaria Kasa, berkata proses penggubalan kurikulum mengikut tahap pendidikan tertentu menyukarkan pelajar menjalani pembelajaran lebih tinggi. 

Beliau berkata, perbincangan itu mewujudkan kesinambungan antara kurikulum sekolah hingga universiti yang perlu diberi perhatian serius dalam transformasi sistem pendidikan negara.

"Sebagai contoh, pendidikan dasar Tahun 1 hingga Tahun 6 sepatutnya memberi fokus kepada penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira serta penghayatan nilai murni.

"Sementara kemahiran sosial dan insaniah ditekankan di sekolah menengah supaya pelajar menumpukan proses mendalami ilmu peringkat pengajian tinggi," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kurikulum sekolah dan universiti kata Zakaria, perlu ada kesinambungan supaya tiada insiden menuding jari sesetengah pihak yang mempersoal keupayaan dasar pembelajaran.

Sekolah katanya, perlu faham pelajar bagaimana diperlukan universiti. Bagi memenuhi keperluan itu, penggubal kurikulum daripada kedua-dua agensi terbabait perlu membincangkan modul sesuai di setiap peringkat.

"Pendidikan dasar harus diberi perhatian utama untuk membentuk generasi berpengetahuan dan memiliki sahsiah mulia. Apabila proses pembelajaran asas kukuh, pelajar lebih mudah menyesuaikan diri dengan proses pembelajaran universiti yang menuntut mereka berdikari," katanya.

Zakaria berkata, isu kesinambungan antara kurikulum sekolah hingga universiti itu antara resolusi utama kluster menerusi Mesyuarat Perancangan Strategik MPN, baru-baru ini.

Resolusi lain, katanya, termasuk usaha mewujudkan sekolah satu sesi dengan tumpuan kepada pembentukan murid yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan hidup masyarakat dan kekayaan negara.

"Turut dibincangkan, pelantikan guru berkelayakan tinggi dan pakar terutama di sekolah rendah. Ini untuk membolehkan tumpuan pendidikan bukan kepada pencapaian akademik semata-mata.

"Pembelajaran menyeluruh membentuk insan seimbang yang akan menjadi tunjang kepada pembangunan berterusan," katanya.

No comments: