SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Wednesday, July 21, 2010

4 universiti kekal status

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 20 Julai - Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) boleh mengekalkan status sebagai universiti penyelidikan negara untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, keputusan pengekalan status itu berdasarkan hasil audit ke atas keempat-empat universiti itu terhadap pencapaian dalam tempoh tiga tahun lalu dari tahun 2007 hingga 2009.

"Secara keseluruhannya keempat-empat universiti penyelidikan itu menunjukkan impak besar ke atas pencapaian bidang penyelidikan negara dan penghasilan modal insan.

"Pencapaian mereka turut merentasi empat aspek yang diukur iaitu modal insan, penerbitan, paten serta hak harta intelek (IPR) dan penjanaan pendapatan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis perhimpunan bulanan kementerian sekali gus melancarkan Buku Kajian Kes Bersepadu Program Perakaunan dan Kajian Hala Tuju Bidang Pengajian di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, bilangan pelajar pasca siswazah di keempat-empat universiti penyelidikan terbabit meningkat 34 peratus iaitu daripada 29,794 orang pada 2007 kepada 39,819 orang tahun lalu.

"Dalam aspek penerbitan, bilangan penerbitan dalam jurnal indeks situasi meningkat daripada 2,303 pada 2007 kepada 4,346 pada 2009 iaitu peningkatan 2,043 atau 89 peratus.

"Peningkatan sembilan peratus dalam aspek IPR turut berlaku iaitu 217 pada 2007 kepada 237 pada tahun lalu selain penjanaan pendapatan meningkat dari RM436 juta kepada RM746.7 juta bagi tempoh sama," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, gaji 1,894 pensyarah perubatan di 11 fakulti perubatan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini telah diselaraskan pada 1 Julai lalu.

Katanya, mereka turut diberi insentif bermula 1 Jun lalu mengikut gred masing-masing dan berdasarkan kelulusan atau tanpa kelulusan kepakaran klinikal.

"Berbeza dengan doktor di hospital, pensyarah perubatan terpaksa juga melakukan kajian dan aktiviti pengajaran, jadi bebanan mereka tinggi.

"Kita khuatir tidak ramai tertarik untuk berkhidmat sebagai pensyarah perubatan sekiranya kita tidak lihat (buat penyelarasan) pada skim perkhidmatan mereka," katanya.

No comments: