SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Thursday, July 8, 2010

Jangan ukur pencapaian pelajar berasaskan keputusan peperiksaan: Sultan Azlan


BAGAN DATOH: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, hari ini bertitah pencapaian pelajar tidak harus diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata sebaliknya harus dinilai secara komprehensif.

Titah baginda, penilaian harus meliputi pelbagai faktor termasuk aspek penghayatan nilai murni yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan.
"Dunia menjadi pincang dan manusia menderita hasil perbuatan bukan daripada kalangan manusia tidak terpelajar atau kurang pendidikan yang melakukan pecah amanah.
"Ketidakaturan urusan kewangan secara besar-besaran adalah daripada kalangan berkelulusan tinggi yang diberikan amanah menerajui organisasi yang besar," titah baginda pada majlis perasmian Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini.

Titah baginda, situasi itu menunjukkan wujud jurang dalam pendidikan yang mencerminkan kurangnya penghayatan nilai murni sehingga mereka sanggup menggunakan ilmu yang diperolehi untuk tujuan kerosakan.

Justeru, titah Sultan Azlan, aspek penyampaian ilmu harus disertakan dengan nilai yang betul dan pelajar dipastikan menghayatinya.

Bagaimanapun, titah baginda, usaha penyerapan nilai murni harus dipikul semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat demi melahirkan pelajar yang berdisiplin dan berdaya maju.

Baginda juga menyarankan supaya sekolah di negara ini menetapkan pelajarnya menguasai satu bidang sukan atau aktif dalam kegiatan bukan akademik seperti badan beruniform atau kesenian.

Titah baginda, bidang sukan dapat mengukuhkan disiplin, membina semangat juang serta membina sifat budiman seseorang semasa menerima kekalahan.

Pembabitan dalam badan beruniform pula dapat mendidik pelajar mengenai urusan berorganisasi dan kepimpinan, sementara kegiatan seni termasuk penulisan membantu mengembangkan bakat halus pelajar, titah Sultan Azlan.

Baginda turut menyarankan agar pembelajaran pendidikan agama Islam tidak berfokus kepada pencapaian gred ''A'' semata-mata, tetapi memastikan pelajar menghayatinya dan meneladani sifat yang dituntut agama.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. - Bernama

 

No comments: