SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Wednesday, July 21, 2010

Semak status rayuan ke IPTA

KUALA LUMPUR 20 Julai - Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan status rayuan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia/Setaraf dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia/Setaraf sesi Akademik 2010/2011 boleh disemak mulai hari ini.

Menurut Unit Komunikasi Korporatnya, pemohon boleh menyemak secara online mulai pukul 12 tengah hari melalui laman web http://upu.mohe.gov.my, http:// jpt.uum.edu.my atau http://www.jpt.utm.my.

"Semakan menerusi talian hotline juga disediakan di talian 03-88835858 atau pemohon boleh menghubungi talian helpline di 03-8835848.

"Keputusan semakan juga dapat diketahui melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan cara menaip UPU RESULT, masukkan nombor Mykad dan hantar ke 15888 serta terbuka kepada semua talian telefon bimbit," kata kenyataan itu di sini hari ini

Selain itu, calon juga dinasihatkan mencetak surat tawaran melalui laman web IPTA yang berjaya diduduki yang bertujuan sebagai dokumen pendaftaran di universiti berkaitan.

Menurut kenyataan itu, kementerian tidak pernah melantik sesiapa sebagai agen atau wakil dalam pengurusan pemilihan kes rayuan calon yang gagal mendapat tempat di IPTA. 

''Semua pengurusan pengambilan diselaraskan melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi dengan mengguna pakai dasar, prosedur serta kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh kementerian.

"Keputusan rayuan adalah muktamad. Jika tiada sebarang tawaran rasmi sehingga 31 Julai, maka rayuan dianggap gagal," jelas kenyataan itu.- Dipetik dari Utusan Malaysia

No comments: