SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Monday, June 28, 2010

Sesi pengajian baru: Kalendar akademik IPT bermula Ogos selaras universiti luar negara, mudahkan kemasukan pelajar asing

Oleh: Khairina Yasin (kayrina@bharian.com.my)
 
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi mengubah kalendar akademik di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membolehkan sesi pengajian bermula pertengahan Ogos berbanding Julai sekarang, mulai tahun depan.
 
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Raden Umar Sohadi, berkata perubahan itu bagaimanapun tertakluk kepada kesediaan Kementerian Pelajaran mengubah kalendar persekolahan sedia ada.
 
“Kita sudah menetapkan minggu ketiga Ogos sebagai permulaan kalendar akademik baru selepas beberapa siri perbincangan dengan Kementerian Pelajaran, MARA dan agensi berkaitan.
 
“Malah, perbincangan berkaitan perkara ini masih berjalan sehingga satu keputusan muktamad dicapai untuk kebaikan semua pihak,” katanya, ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Raden Umar berkata, keputusan menganjakkan sesi sebagai usaha menyelaraskan sesi pengajian yang dilaksanakan kebanyakan universiti luar negara.

Usaha itu kata beliau, sejajar dengan matlamat kerajaan memperkasakan pengajian tinggi yang menyumbang kepada kemasukan lebih ramai pelajar asing.



Perubahan itu juga katanya, memudahkan pelaksanaan program mobiliti pelajar dan tenaga pengajar institusi pengajian tinggi tempatan ke universiti luar negara.


“Matlamat kita bukan hanya untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, malah mengharapkan pelajar terbaik dari luar negara memilih universiti di negara ini sebagai institusi pilihan.


“Kemasukan golongan ini meningkatkan kecemerlangan universiti tempatan di peringkat global,” katanya.

Ketika ini, Raden Umar berkata, sesi pengajian IPT bermula antara akhir Jun dan awal Julai, manakala kebanyakan universiti luar negara terutama di Asia Barat bermula sekitar Ogos.

“Perubahan itu relevan dengan matlamat merealisasikan sasaran negara menjadi hub pendidikan tinggi serantau.

“Bagaimanapun, kita perlu memikirkan keupayaan dan kesediaan Kementerian Pelajaran terhadap pelaksanaan ini kerana mereka memerlukan masa untuk melaksanakan perubahan sama,” katanya.

Mengulas kebimbangan sesetengah pihak berikutan wujudnya tempoh rehat panjang di kalangan sekolah sebelum memasuki sesi universiti jika dilaksanakan, Raden Umar berkata, kementerian tidak dapat lari daripada memikirkan implikasi pelaksanaan dasar itu.

“Ibu bapa harus bijak dan bertanggungjawab dalam merencana aktiviti sesuai bagi membolehkan anak masing-masing mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

No comments: