SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Monday, June 14, 2010

PTPTN peruntuk RM33 bilion pinjaman ke IPTA

MARAN 13 Jun - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan pinjaman RM32.6 bilion kepada 200,000 pelajar yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Pengurus PTPTN, Nora Yusof berkata, daripada jumlah itu, pihaknya memperuntukkan RM71 juta bagi wang pendahuluan pembiayaan (WPP) kepada 47,000 pelajar baru yang bakal mengikuti pengajian di IPTA tahun ini.

Menurut beliau, bagi memastikan dana WPP sampai ke tangan pelajar, pihaknya turun padang ke 45 kawasan Parlimen seluruh negara untuk menyalurkan dana itu.

"Sebahagian dana tersebut diposkan ke alamat pelajar yang layak menerimanya," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan WPP PTPTN kepada 131 pelajar dalam Parlimen Maran di Dewan Tasik Maran di sini semalam.

Majlis penyerahan WPP kepada bakal mahasiswa itu disempurnakan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Nora memberitahu, setiap pelajar terbabit memperoleh WPP RM1,500 untuk persiapan sebelum mendaftar di IPTA.

Beliau turut mengingatkan penerima PTPTN supaya membayar pinjaman masing-masing sebaik sahaja mendapat pekerjaan tetap selepas tamat pengajian.

"Ini penting kerana bayaran pinjaman itu dapat digunakan pula untuk pelajar lain pada masa akan datang.

"Peruntukan pendidikan yang disediakan kerajaan sangat besar bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mendapat pendidikan tinggi," tegasnya.

Peruntukan itu juga, tambahnya, membuktikan kerajaan amat komited terhadap usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara setanding dengan negara maju.

Tambah beliau, PTPTN ditubuhkan sejajar dengan hasrat kerajaan yang tidak mahu ada pelajar cemerlang gagal memasuki IPTA atas sebab kewangan- Utusan Online.

No comments: