SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Tuesday, June 29, 2010

UiTM ambil 5,000 pelajar miskin: Tawaran ikuti pengajian pradiploma selama 6 bulan secara percuma


Oleh Badrul Kamal Zakaria

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil kira-kira 5,000pelajar daripada anak golongan miskin yang tidak mendapat keputusan cemerlang untuk mengikuti pengajian pradiploma.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mereka yang dipilih ditempatkan di semua kampus UITM di seluruh negara dan akan mengikuti pengajian pada peringkat pradiploma selama enam bulan secara percuma.

Tawaran itu adalah antara tanggungjawab sosial (CSR) UiTM yang diusahakan sendiri oleh universiti itu melalui program Mengubah Destini Anak Bangsa, katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan ke UiTM sempena Minggu Mesra Siswa di Kolej Mawar, UiTM, di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar. Seramai 60,000 pelajar baru UiTM mendaftar untuk mengikuti pengajian pada sesi pengajian kali ini.

Pengambilan pelajar daripada anak golongan miskin itu bagi mengikuti program berkenaan sudah dijalankan dan kebanyakan mereka ditempatkan di kampus cawangan UiTM seluruh negara.

UiTM akan memberi pertimbangan untuk memberi pelepasan bayaran yuran sepanjang pengajian mereka dengan syarat mereka yang terpilih menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang.

Mohamed Khaled berkata, mereka yang mendapat keputusan cemerlang akan ditawarkan pengajian peringkat diploma mengikut bidang yang bersesuaian.

Menerusi program CSR lain, Mohamed Khaled berkata, golongan pekerja yang berminat untuk mendapatkan pendidikan tinggi, tetapi tidak berkemampuan kini berpeluang berbuat demikian di UiTM.

Pengajian secara percuma itu akan ditawarkan pada masa terdekat dan pelajar akan mengikutinya menerusi program pengajian jarak jauh dan luar kampus di semua kampus UiTM.

Mohamed Khaled berkata, tawaran itu adalah untuk semua peringkat umur.
 

Katanya, mereka yang berminat akan mengikuti satu program pengajian khas sebelum diserapkan ke peringkat diploma bagi mengikuti kursus bersesuaian pada semester berikutnya bergantung kepada keputusan yang dicapai.

Katanya, maklumat lanjut mengenai tawaran pengajian itu boleh didapati menerusi iklan yang akan disiarkan oleh UiTM.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled meminta agar universiti lain di negara ini terutama universiti swasta menjadi lebih kreatif dalam menjalankan program CSR selain memberikan biasiswa untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

No comments: