SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Saturday, January 2, 2010

Pelajar cemerlang SPM 2008 dapat rumah

“Saya bersyukur kerana semua ini rezeki daripada Allah. Rumah baru ini adalah hadiah paling besar buat kami sekeluarga sempena kedatangan Ramadan,” kata pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal.
Semalam, penantian keluarga Nik Nur Madihah untuk memiliki rumah baru yang lebih selesa akhirnya tercapai apabila menerima kunci banglo yang dihadiahkan Kerajaan Kelantan sebagai penghargaan atas kejayaan cemerlangnya di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini.
Banglo setingkat yang dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air seluas 800 kaki persegi bernilai RM130,000 itu dihadiahkan kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang mengambil masa lebih dua bulan untuk disiapkan.
Nik Nur Madihah berharap, hadiah rumah baru itu juga akan menjadi pendorong kepada tiga adiknya untuk turut mencatatkan kejayaan cemerlang dalam pelajaran di samping sebagai inspirasi kepada pelajar lain untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang membantu dan memberikan pelbagai sumbangan kepada kami sekeluarga selama ini,” katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sumber : Berita Harian

No comments: