SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Saturday, January 2, 2010

KEMISKINAN DAN KEKURANGAN BUKAN PENGHALANG MERAIH KEJAYAAN :


Satu hal yang menarik untuk dikongsi bersama di sini ialah tentang KEJAYAAN adik NIK NUR MADIHAH pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi (Perempuan) Kota Bharu yang mendapat keputusan CEMERLANG dan PELAJAR TERBAIK SPM 2008 yang diumumkan baru-baru ini dengan mendapat 20A. Apakah rahsia kejayaan beliau?
Kejayaan adik Nik Nur Madihah menarik perhatian semua pihak. Saya difahamkan ramai wartawan pergi ke rumah di Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk menemuramah beliau. Ekoran daripada itu, saya  juga terpanggil untuk berbicara tentang rahsia kejayaan beliau.
Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.
Bagi beliau, kemiskinan dan kekurangan bukan penghalang meraih kejayaan. Malah kemiskinan, kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan kedua ibu bapanya.
Beliau adalah anak sulung daripada empat adik beradik. Ayah dan ibu beliau bukannya orang berada. Ibu bekerja sebagai tukang sapu di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan ayahnya pula bekerja sebagai nelayan.
Apa yang menariknya, adik Nik Nur Madihah tidak menganggap dirinya genius, malah waktu belajarnya juga tidak menentu. Beliau juga tidak mengikuti kelas tambahan, belajar juga tak ada jadual. Tetapi kata beliau, “Saya belajar bila terasa nak belajar tanpa terpaksa atau dipaksa.” Itulah rahsia kejayaan beliau.

Cuba anda tengok (gambar di sebelah kiri), itulah pondok kecil beliau yang menjadi tempat beliau sekeluarga berteduh daripada hujan dan panas. Rumahnya pula tak semewah rumah orang lain. Ayahnya menyewa dengan RM90 sebulan. Ruang untuk belajar juga adalah terhad. Malah tidak ada bilik khusus sebagai tempat beliau mentalaah pelajaran. Ruang tamulah menjadi tempat beliau mengulangkaji pelajaran setiap hari.
Anak sulung daripada empat beradik dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa ini bercita-cita meneruskan pengajian ke Timur Tengah dengan mendalami ilmu fizik. Moga-moga Allah SWT mempermudahkan segala urusan beliau.
Justeru itu, jadilah kejayaan adik Nik Nur Madihah pada hari ini sebagai dorongan untuk anda untuk memulakan langkah pertama untuk meraih kejayaan pada hari esok. Jangan jadikan kemiskinan, kesukaran dan kekurangan diri dan keluarga menjadi alasan dan penghalang untuk anda mencipta kejayaan. KALAU ORANG LAIN BOLEH BERJAYA, KENAPA ANDA TAK BOLEH ? Tanyalah diri anda pasti anda mengetahui jawapannya.


No comments: