SEKAPUR SIRIH


Yayasan UNITI merupakan sebuah badan yang tidak mempunyai sebarang matlamat keuntungan dan perniagaan telah ditubuhkan pada 16 Mac 1998. Ia bertujuan bagi memfokuskan usaha mengumpul, menerima, mengurus dan mentadbir dana diharapkan akan dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar bagi meneruskan kecemerlangan dalam dunia pendidikan. Dana tersebut dijangkakan akan dapat dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli Yayasan dan juga sumbangan ikhlas daripada individu dan badan-badan yang berminat. Sebagai insentifnya, setiap sumbangan tersebut akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan oleh pihak kerajaan (salinan surat pelepasan cukai disertakan).


Penerima sumbangan dan bantuan yang diagihkan tidaklah merupakan semata-mata pelajar UNITI, tetapi akan diberikan kepada setiap pelajar yang layak dan sesuai di seluruh negara. la akan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah secara dermasiswa, bantuan kewangan, insentif pelajaran, hadiah dan sebagainya. Malah organisasi yang terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan sama ada secara langsung atau tidak juga berhak bagi mendapatkan bantuan daripada dana tersebut.


Oleh itu, individu-individu, badan korporat, dermawan serta badan-badan yang terbabit dialu-alukan bagi menjadi ahli dalam Yayasan UNITI.

Saturday, January 2, 2010

Nur Madihah: Pelajar Cemerlang SPM 2008

TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA NIK NUR MADIHAH


TAHNIAH juga buat kedua ibu bapanya yang telah mendidik dan memberi sokongan kepada permata yang gemilang ini dan juga menyediakan apa yang termampu kepadanya.

TAHNIAH kepada guru-gurunya kerana membimbing dan mendorong Nur Madihah sehingga cemerlang dan gemilang.

Semoga Allah mempermudahkan hidupnya sekeluarga. Amin.

Saya sangat berbangga dengan anak orang Islam dan Melayu ini kerana mendapat 20A dalam SPM pada tahun lepas. Seorang anak nelayan boleh melakukannya dengan begitu baik dan cemerlang sekali di peringkat kebangsaan. Tahniah lagi sekali kepada semua yang mendorong Madhihah...

Semoga dengan kejayaan Madihah ini memberi suntikan semangat dan juga sbg satu contoh motivasi bagi diri kita utk terus mara ke hadapan... InsyaAllah.

Ingatlah, bahawasanya kedua ibu bapa kita akan melakukan yang terbaik buat kita, dan mereka sedaya upaya akan menyediakan apa yang termampu bagi mereka utk kita demi melihat kita semua gembira dan cemerlang di masa hadapan.

Kasih ibu bapa dan jasa mereka berdua tidak akan sesekali dapat kita balasi walaupun kita memberi mereka emas setinggi bukit, berlian setinggi gunung.

Oleh itu, bersyukurlah kepada Allah, dan berterima kasihlah kepada kedua ibu bapa kita.

Marilah kita mendoakan agar kejayaan Madihah serta belia & beliawanis lepasan SPM/STAM/STPM yang lainnya menjadi aset kepada Ummah, memberi sumbangan pada kebangkitan Islam dan ummatnya pada masa hadapan. Insya Allah... Amin...



INILAH RUMAH SAYA




Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.

Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.

Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.

Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

Sumber - Utusan



NUR MADIHAH PUASA SEBAB MISKIN

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com

KOTA BHARU 14 Mac – “Kadang-kadang saya menitiskan air mata sebab kakak (panggilan keluarga kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, gambar) terpaksa berpuasa sebab tidak ada wang untuk beli makanan.

“Tetapi alhamdulillah, kakak memahami keadaan keluarga. Malah kakak menjadikan ibadah itu sebagai rutin pada setiap hari Khamis dan Isnin sejak berumur 12 tahun.”

Demikian luahan ibu kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Mariani Omar, 42, ketika ditanya mengenai kesusahan dia dan suami, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41, membentuk seorang insan contoh.

Katanya, biar susah bagaimana sekali pun, anak sulung daripada empat beradik itu tidak pernah merungut.

Malah Nik Nur Madihah, menurutnya, melalui semua kepayahan itu dengan tabah dan menerimanya sebagai cabaran untuk berusaha dengan lebih keras.

“Disebabkan tak ada wang poket, kakak akan makan roti di sekolah dan kerana terlalu banyak makan roti, ia jadi kegemarannya. Malah dia bercita-cita belajar cara buat roti. Kata kakak, dia hendak buat roti banyak-banyak.

“Ibu mana yang tidak tersentuh apabila melihat keadaan anak begitu. Tetapi saya bersyukur kerana dia menerima kekurangan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Nik Nur Madihah, 18, anak seorang nelayan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah negeri ini apabila memperoleh 20 A dalam peperiksaan SPM 2008.

Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara pelajar cemerlang dengan mendapat 19 1A dan satu 2A, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperoleh 21 A.

Dia juga membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan walaupun mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar.

Kesusahan hidup Nik Nur Madihah yang tinggal di rumah sewa kecil di Pengkalan Chepa dipaparkan di muka depan Utusan Malaysia hari ini.

Mariani berkata, sejak kecil anaknya itu gemar membaca buku dan setiap masa terluang tidak pernah dibiarkan begitu saja.

“Memang dari kecil lagi dia minat benar dengan buku. Saya dan suami tidak pernah paksa kakak membaca buku, kadang-kadang paksa dia suruh berhenti sebab sudah masuk Maghrib.

“Sifat ulat buku ini turun kepada tiga adiknya,” tambahnya.

Menurut Mariani, seorang lagi anaknya kini menuntut dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Teknik Bachok, seorang dalam tingkatan tiga di bawah tajaan Permodalan Nasional Berhad di Bandar Salak Tinggi dan yang bongsu di tahun lima Sekolah Kebangsaan Parang Puting di sini.

Ujarnya, sekiranya Nik Nur Madihah meminta wang untuk membeli buku, dia dan suami akan berusaha mencari wang tersebut tetapi selalunya ia tidak diberi serta-merta kerana kesempitan hidup.

“Kakak tidak banyak kerenah dan agak pendiam. Dia pun tidak beritahu kami dia ambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah saat-saat akhir,” ujarnya.

Sumber - Utusan 15 Mac

No comments: